3 PERKARA UTAMA UNTUK PASTIKAN KERAJAAN KEKAL RELEVAN : NAJIB

KUALA LUMPUR:  Tiga perkara utama digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memastikan peranan kerajaan kekal relevan dalam lanskap politik semasa.

Najib berkata pemimpin politik perlu bersedia memahami perubahan demografi, merancang pembangunan yang lebih inklusif dan memanafaatkan teknologi bagi membina hubungan yang lebih baik antara masyarakat dan kerajaan.

Katanya, perkembangan teknologi yang pesat menuntut kerajaan bersifat lebih telus dan terbuka terutamanya dalam perkongsian maklumat.

"Sebagai sebuah kerajaan, tindak balas kita perlu lebih terbuka. Kita tidak seharusnya takut untuk mengamalkan politik yang lebih terbuka, dengan pendedahan yang lebih besar dalam dasar dan pelaksanaan, serta perlu interkasi yang lebih tulen dengan orang ramai," katanya ketika merasmikan Forum Antarabangsa Kesederhanaan Global sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Forum yang dihadiri 121 delegasi membabitkan 31 parti politik dari seluruh dunia bertemakan 'Politik Kesederhanaan dan Mengimbangi Percanggahan Demi Keamanan dan Kestabilan'.

Najib berkata kerajaan pada masa sama perlu memahami perubahan demografi  yang menuntut perhatian diberikan kepada keperluan golongan muda dan masyarakat berbilang kaum serta agama.

"Kita perlu mengumpul keberanian untuk mengambil keputusan jangka panjang, bukan hanya untuk pilihan raya akan datang, perubahan demografi menuntut kita berpandangan jauh," katanya.

Najib yang juga Presiden UMNO dalam ucapannya turut menegaskan dalam mengejar kemajuan, kerajaan antara lain perlu memelihara kelangsungan alam sekitar demi kepentingan generasi akan datang. - Astro Awani

Comments

Popular Posts