MANGSA BANJIR DI JOHOR DAN TERENGGANU MENINGKAT

Jumlah mangsa banjir di Johor dan Terengganu yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat pagi ini, dengan masing-masing mencatat 7,106 dan 3,486 orang, sementara beberapa jalan turut terjejas.

Di Johor, laluan di Batu 18 Sungai Ara-Kota Tinggi terputus hubungan dan tidak boleh dilalui kenderaan berat setelah dinaiki air setinggi empat meter, menurut Ketua Polis Daerah Mersing DSP Zulkifli Hashim.

Beliau memberitahu Bernama, KM16 Jalan Kota Tinggi-Mersing pula hanya dibuka sebelah laluan ekoran tanah runtuh berdekatan Institut Latihan Perindustrian (ILP).

Di Terengganu, beberapa batang jalan utama ditutup termasuk Jalan Jerangau-Jabor di Dungun, ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air setinggi 1 meter.

Selain itu, Jalan Cukai-Air Putih di Kemaman, turut ditutup kepada semua kenderaan setelah ditenggelami air setinggi 0.6 meter manakala Jalan Ajil-Kuala Berang, di Hulu Terengganu ditenggelami air sedalam 0.9 meter.

Mengenai jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Johor, portal bencana Majlis Keselamatan Negara, memaklumkan, Mersing mencatat jumlah tertinggi iaitu seramai 5,441 orang, diikuti Segamat (1,184), Kota Tinggi (192), Kluang (189), Muar (87) dan Batu Pahat (13).

Antara kawasan dilanda banjir di Mersing ialah Kampung Sawah Datuk, Pengkalan Batu, Kampung Air Tawar, Kampung Labung, Kampung Tenglu, Kampung Peta, Kampung Makam, Kampung Air Papan dan Kampung Air Merah.

Di Segamat, kawasan yang terjejas melibatkan Kampung Pogoh, Kampung Logah, Kampung Gemereh, Kampung Segamat Kecil, Kampung Paya Dalam dan Kampung Bumbun, manakala di Kota Tinggi melibatkan Kampung Perpat, Kampung Gembut dan Kampung Mawai Baru.

Kawasan yang terjejas di Kluang ialah Ladang Mutiara, Yap Tau Sah dan Kampung Contoh dekat Kahang, manakala di Muar, Felda Maokil dan Batu Pahat melibatkan Kampung Haji Khamisan, dekat Yong Peng.
Di Terengganu, jumlah keluarga yang terbabit dalam perpindahan meningkat kepada 897 berbanding 724 keluarga, malam tadi.

Menurut portal itu, dua lagi pusat pemindahan dibuka menjadikan jumlah keseluruhan pusat sebanyak 44 buah.

Setakat ini, tiga daerah di Terengganu masih dilanda banjir dengan Kemaman paling teruk terjejas diikuti Dungun dan Hulu Terengganu.

Sehingga pukul 9 pagi, jumlah mangsa banjir di Kemaman seramai 2,480 daripada 623 keluarga dan 29 buah pusat pemindahan beroperasi di daerah itu.

Antara pusat pemindahan itu ialah balai raya JKKK Padang Kubu, rumah pegawai Sungai Mas, surau, pejabat Felda, masjid, dewan rumah murah dan sekolah.- BERNAMA

Comments

Popular Posts