#PAU2013 : TEKS UCAPAN PENUH KETUA WANITA UMNO MALAYSIA


UCAPAN DASAR
DATO' SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL
KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA

WANITA UMNO : TERAS DAN TULANG BELAKANG UMNO

*****
PEMBUKAAN
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Allah S.W.T. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Napsiah Omar
Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato' Hajah Saripah Aminah Syed Mohamed
Yang Berhormat Wakil Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Yang Berhormat Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,
Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun
Yang Berhormat, Yang Berbahagia Pegawai-Pegawai dan Ahli-Ahli Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia

Para perwakilan yang saya kasihi,

Dif-Dif jemputan, veteran-veteran UMNO, para pemerhati, hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah S.W.T.

Alhamdulillah, dengan rahmat dan izin-Nya, sekali lagi kita dipertemukan dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO Tahun 2013. Saya bagi pihak barisan kepimpinan Wanita UMNO Malaysia yang baru dipilih dan dilantik, mengalu-alu dan mengucapkan Selamat Datang dan Syabas kepada 955 orang perwakilan dari 191 Bahagian serta 3 wakil Ahli Majlis Tertinggi UMNO ke perhimpunan bersejarah ini.

Kita menyaksikan srikandi parti dari seluruh Negara berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra untuk menjulang obor perjuangan parti barakah ini. Srikandi yang datang dari Perlis hingga ke Sabah bukan sekadar hadir untuk meramaikan peserta, bukan sekadar untuk menjadi bunga-bunga, dan mewarnai Perhimpunan Agung UMNO ini.

Wanita UMNO berhimpun di sini untuk memperbaharui ikrar dan lafaz perjuangan, untuk mengangkat martabat dan harakat Agama, Bangsa dan Negara. Wanita UMNO hadir di Perhimpunan Agung 2013, sebagai teras dan tulang belakang UMNO. Kita bukan sekadar menyokong, tetapi kitalah yang memimpin transformasi, melakar perubahan dalam sebuah perjuangan yang bermakna ini.

Sebelum saya meneruskan ucapan, bagi pihak Pergerakan Wanita UMNO, saya merakamkan ucapan tahniah dan sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak dan YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, yang dipilih semula sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti tanpa bertanding. Kita berikrar untuk bersama-sama mereka, Naib-naib Presiden dan seluruh ahli Majlis Tertinggi untuk mendokong perjuangan UMNO selaras dengan apa yang disebutkan dalam surah al-Baqarah, ayat 143 sebagai "ummatan wasatan" iaitu ummat yang adil, sederhana dan seimbang dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Saya juga mengucapkan tahniah atas pemilihan semula YBhg Tan Sri Napsiah Omar dan YBhg. Dato' Saripah Aminah Syed Mohamed sebagai Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap. Tahniah juga kepada YB Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun kerana dipilih sebagai Naib Ketua Wanita UMNO yang baru dan yang pertama dari Sabah. Doa saya agar Yang Berhormat Datuk Azizah akan menjadi pasangan saya yang setia. Bersama-sama pegawai-pegawai yang baru dilantik, ahli-ahli Exco, barisan kepimpinan di semua peringkat, marilah kita bersama-sama mengharungi onak dan duri politik demi membawa Wanita UMNO ke satu lagi tahap kecemerlangan. Azam saya ialah untuk terus menentukan Wanita UMNO diarusperdanakan di dalam parti, berkhidmat untuk rakyat Malaysia dan mencatat nama di persada dunia. Insya-Allah.

PEMILIHAN PARTI

Tahun ini tahun bersejarah. Pindaan Perlembagaan UMNO pada tahun 2009, telah memberi hak dan kuasa kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi untuk menentukan siapa yang akan memimpin UMNO di semua peringkat. Untuk pemilihan Ahli Majlis Tertinggi, buat pertama kalinya, seramai 23,108 (dua puluh tiga ribu seratus lapan) perwakilan Wanita telah pun memilih pucuk kepimpinan tertinggi parti. Dan buat pertama kalinya juga, seramai 110,765 (seratus sepuluh ribu tujuh ratus enam puluh lima) perwakilan Wanita, telah memilih pucuk kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang sekali lagi memberi mandat kepada saya, sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia untuk penggal 2013 hingga 2016. Insya-Allah saya akan memikul tanggungjawab ini dengan penuh keberanian, amanah dan komitmen.

Di dalam pemilihan Wanita Bahagian pada tahun ini, berlaku beberapa perubahan dan transformasi. Ada Ketua Wanita yang memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda dan ada yang menang dalam pertembungan yang sengit. Hasil daripada ini, 72 daripada 191 Ketua Wanita Bahagian adalah yang baru dengan purata umur 54 tahun, yang paling muda 36 tahun dan yang paling berpengalaman berumur 74 tahun. Pada hari ini kepimpinan Wanita UMNO terdiri daripada satu gandingan yang amat mantap, daripada mereka yang berpengalaman, profesional, korporat, suri rumah dan yang muda termasuklah Penolong Bendahari Wanita UMNO Malaysia yang baru, Puan Nor Azita Abdul Rahman, mantan Penolong Setiausaha Puteri UMNO Malaysia, dan Yang Berhormat Dato' Rosnah Shirlin dan Yang Berhormat Dato' Noraini Ahmad kedua-duanya mantan Ketua Puteri UMNO Malaysia. Dijadikan contoh tiada tercemar, dijadikan tiang tiada tersasar. Saya berdoa agar perpaduan yang sedia terjalin akan dapat dikekalkan. Janji diisi, amanah dijalankan, terhadap rakyat, penuh ihsan.

Kepada semua pemimpin Wanita UMNO Bahagian yang tidak berpeluang menyambung perkhidmatan mereka, saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas khidmat bakti yang dicurahkan kepada UMNO dan Negara. Di dalam UMNO, terutamanya di dalam Wanita, ada tempat untuk semua, sama ada berjawatan ataupun tidak. Insya-Allah kita akan menentukan sumbangan pemimpin-pemimpin yang lama dan yang baru dapat digabungkan supaya tidak ada ketirisan di dalam perjuangan Wanita UMNO.

PILIHANRAYA UMUM
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,

Dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu, UMNO sebagai nadi Barisan Nasional telah menunjukkan prestasi yang baik. Sekiranya pada PRU 12 tahun 2008, UMNO menang 79 kerusi Parlimen, dalam pilihanraya PRU 13, kerusi UMNO bertambah kepada 88 kerusi Parlimen; iaitu pertambahan sebanyak 11%. Dengan kemenangan ini, UMNO mewakili 66% kerusi Parlimen Barisan Nasional.

Selain itu, prestasi calon-calon UMNO dan Barisan Nasional yang bertanding juga adalah baik, sehingga kita berjaya mengambil semula Kerajaan Negeri Kedah dan mempertahankan Perak. Saya yakin sekiranya kita bekerja keras mulai dari sekarang, Barisan Nasional boleh mentadbir semula negeri-negeri yang kini di bawah pembangkang. Ini bukanlah mustahil. Pembangkang tidaklah terlalu kebal sehingga tidak dapat digoncang. Mereka hanya mampu berpakat sewaktu pilihanraya, walhal sesama sendiri mereka bercakaran.

Prestasi baik dalam pilihanraya lalu membuktikan bahawa orang Melayu dan Bumiputera secara amnya, dan juga kaum lain, mahukan UMNO terus menakhodai negara ini. Ia juga adalah satu petunjuk bahawa rakyat mahukan Presiden UMNO YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abd Razak untuk terus memacu kepimpinan negara ke satu tahap yang lebih tinggi lagi. YAB Dato' Sri Najib adalah merupakan pilihan yang tepat untuk memimpin Negara dan keputusan yang bijak ini telah dibuat oleh rakyat dalam Pilihanraya ke-13. Saya setuju dengan pendapat Awang Selamat seorang kolumnis Mingguan Malaysia pada 1 Disember 2013 dimana beliau menyifatkan YAB Dato' Sri Najib: "…membawa kebangkitan kepada parti hasil gaya kepimpinannya yang bermuafakat. Meskipun mewarisi permasalahan yang kompleks ekoran PRU 12 dan berdepan dengan siri gelombang tekanan pakatan pembangkang, beliau mengolahnya dengan baik. Pembawaannya yang tenang dan tidak melatah biarpun dikritik hebat; kesabarannya, kerja keras, kebolehan mengurus pentadbiran kerajaan, ekonomi dan parti dengan cemerlang, adalah antara kunci kejayaan. Percaturan politiknya sukar dibaca termasuk oleh para pemimpin pembangkang. Dalam senyum beliau membina kekuatan yang menyaksikan pengaruh seteru politik lemah dan terhakis dengan sendirinya. Beliau tidak perlu menunjukkan taring tetapi strateginya berkesan dalam menangani senario hari ini yang jauh lebih mencabar berbanding dahulu. Najib tidak pernah mahu dianggap sebagai seorang strategis tetapi berfikirlah banyak kali kalau mahu mengambil mudah beliau."

Saya amat bersetuju dengan tulisan Awang Selamat tentang YAB Dato' Sri Najib. Walaupun berat mata kita memandang, alhamdulilah bahu YAB Dato Sri Najib mampu memikulnya. Saya berpendapat YAB Dato' Sri Najib boleh diumpamakan sebagai seorang Chess Grandmaster. Beliau faham mana tindakan yang mustahak dan mana yang sampingan. Beliau sabar menunggu masa yang tepat untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan yang bijak untuk checkmate. Tidak terburu-buru mahupun kalut dan karut. Walaupun beliau amat berhati-hati dan teliti dalam segala tindak tanduk, namun YAB Dato' Sri Najib berani membawa perubahan "out of the box" dengan caranya tersendiri, tanpa meletakkan Malaysia di satu paras bahaya. Beliau konfiden dan mempunyai keyakinan diri sebab itu beliau tidak teragak-agak, dengan izin, "to concede a Pawn in order to gain a Bishop. In a game of chess the Grandmaster does not say much because his actions are louder than his words". Alhamdulillah, Malaysia bertuah mendapat seorang pimimpin yang stabil dan realistik. Beliau bukan seperti tin kosong yang tergolek-golek bising berdering.

Oleh itu, saya ingin menasihatkan parti-parti pembangkang, usahlah terlalu ghairah sangat dalam politik mereka yang membawa kearah kehancuran negara. Keputusan Pilihanraya Umum yang lalu jelas membuktikan bahawa orang Melayu, Bumiputera dan kaum lain mahu untuk terus bernaung di bawah UMNO dan Barisan Nasional yang dipimpin YAB Dato' Sri Najib selaku Perdana Menteri Malaysia.

Pada setiap kali pilihanraya, sama ada Pilihanraya Umum atau Pilihanraya Kecil, Wanita UMNO sentiasa berada di saf hadapan perjuangan. Kalau kita di hadapan pun, ia tidaklah sampai membayangi orang lain. Namun, kehadiran jentera Wanita UMNO yang membawa kepada kemenangan, dirasai oleh kawan dan digeruni oleh lawan.

Maka, sekali lagi pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh jentera parti khususnya Jentera Jalinan Rakyat, yang telah bekerja keras untuk memenangkan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang lalu dan pilihanraya kecil. Sama ada kita menjadi hero yang didendangkan atau tidak, kita pasti setiap pengorbanan dan penat lelah kita, akan mendapat ganjaran yang sewajarnya dari Allah S.W.T.

Percayalah, apa saja kebaikan yang dibuat oleh kerajaan dan memberikan manfaat kepada rakyat, sebagai srikandi parti akan mendapat pahala Allah S.W.T. Dalam satu hadis, Rasulullah S.A.W. menyuruh kita menanam benih kerana buah dari benih itulah nanti akan dimakan dan memberikan manfaat kepada orang lain, walaupun tatkala kita menanam itu sudah hampir dengan masa kiamat. Begitulah, betapa Islam mendidik kita untuk menanam benih-benih perjuangan. Dalam konteks ini, hasil yang diperolehi akan menjadi amal jariah kita sepanjang hayat.

Insya-Allah.

Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan yang dihormati,

Suatu ketika dulu, parti lawan mengeluarkan fatwa, wanita tak boleh bertanding dalam pilihanraya sama ada sebagai Ahli Parlimen ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri. Mereka mendakwa calon-calon Wanita UMNO yang bertanding dikatakan bercanggah dengan syariat Islam.

Hari ini, jelas dilihat parti lawan itu telah mengikuti jejak langkah Wanita UMNO dan mula meletakkan calon-calonnya dalam pilihanraya. Ada daripada calon-calon wanita parti lawan menang dalam pilihanraya. Sebenarnya kemenangan mereka adalah hasil perjuangan Wanita UMNO dan kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional.

Dalam PRU 13, di peringkat Parlimen, Wanita UMNO bertanding di 10 kerusi dan menang 8 kerusi. Sementara di Dewan Undangan Negeri, Wanita UMNO bertanding di 32 kerusi dan menang 25 kerusi. Secara keseluruhannya Wanita UMNO menang 33 kerusi atau 79% kerusi yang di tandingi. Kemenangan ini membuktikan calon-calon Wanita UMNO diterima oleh rakyat.

Siapa kata Wanita tak mampu menjadi calon yang baik? Siapa kata Wanita tak boleh memimpin? Kami memberi jaminan kepada YAB Presiden parti, insya-Allah Wanita UMNO akan pastikan kemenangan yang lebih besar di semua kerusi yang kami tandingi. Saya berharap kepimpinan parti akan mengambil maklum supaya dalam pilihanraya-pilihanraya akan datang, kalau kita nak menang besar, tambahlah lagi calon daripada Wanita UMNO!

WANITA SEBAGAI TERAS DAN TULANG BELAKANG UMNO

Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,

Pada awal ucapan saya tadi, saya sebutkan bahawa Wanita UMNO adalah teras dan tulang belakang kepimpinan parti. Sebagai teras dan tulang belakang, kita menunaikan peranan penting dalam parti. Untuk membolehkan kita menjalankan tugas ini, tasawwur atau "worldview" kita harus bersama zaman. Transformasi tidak harus menjadi satu retorik. Ia perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan.
Transformasi pertama ialah Wanita UMNO tidak harus dilihat sebagai hanya layak dan mampu bercakap soal-soal wanita sahaja. Kita akur bahawa isu-isu seperti kedudukan wanita dalam membuat keputusan, soal cuti ibu bersalin, isu wanita di tempat kerja, penyediaan taska, sensitiviti gender dan seumpamanya adalah isu-isu penting yang mesti terus diperjuangkan oleh Wanita. Kita tidak akan berhenti memperjuangkan isu-isu ini. Namun, kita tidak boleh membataskan perbahasan perjuangan kita kepada isu-isu tersebut. Wanita UMNO mesti membuktikan bahawa kita mampu memimpin isu di luar kerangka tersebut. Usah jadikan perjuangan Wanita UMNO sebagai "women-centric". Wanita UMNO mesti bercakap dan memperjuangkan soal perumahan, soal ekonomi dan keusahawanan, soal pendidikan, soal keselamatan, soal keadilan sosial, soal antarabangsa, dan soal masa depan negara. Buktikan kita mampu memimpin isu yang akan membawa kepada pembangunan rakyat Malaysia.

Transformasi kedua, Wanita UMNO mestilah berjiwa besar dan mampu "differentiate between the trees and the forests" iaitu membezakan di antara pokok dan hutan. Jangan kita terperangkap dalam melihat perjuangan Wanita UMNO sebagai sesuatu yang terbatas. Anna Eleanor Roosevelt, bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat yang paling lama, telah menyebut, "Great minds discuss ideas, average minds discuss events, small minds discuss people". Maksudnya, "Manusia berjiwa besar berbicara soal idea, manusia berjiwa sederhana berbincang soal peristiwa, manusia berjiwa kecil bercakap tentang orang lain". Ini sebagai satu peringatan kepada kita semua supaya sentiasa berjiwa besar dalam membawa transformasi.

Transformasi yang ketiga ialah gerak kerja Wanita UMNO juga harus berubah. Wanita UMNO mesti lebih berusaha untuk "reach out" menggunakan pelbagai media termasuklah melalui media sosial, dan mendekati kelompok di luar selain daripada dalam parti. Wanita UMNO mesti terus mendekati masyarakat bandar dan luar Bandar, Wanita UMNO mesti selesa bersama suri rumah dan profesional, Wanita UMNO mesti seiringan dengan yang tua dan yang muda. Wanita UMNO mesti "engage" dengan semua kelompok merentasi zon selesa kita. Kita mesti mengambil pendekatan memandang ke luar, atau "outward-looking" dan bukan memandang ke dalam parti saja. Sama ada mereka penyokong atau bersimpati dengan parti pembangkang, kita harus mendekati dan berjuang bersama-sama. Jika mereka tak kenal kita, mungkin mereka tak cinta kita.

Wanita UMNO akan terus mengukuhkan program induk kita seperti Jalinan Rakyat dan Skuad Sayang. Ia sudah cukup sinonim dengan Wanita UMNO. Bagaimanapun, dalam bergerak ke hadapan, kita harus melebarkan jangkauan dan medan perjuangan kita. Program terbaru yang saya akan lebarkan ke setiap bahagian ialah program JUWITA (Jaringan Untuk Wanita Ibu Tunggal Malaysia) perjuangan kita untuk ibu tunggal di Malaysia. Selain daripada itu, Wanita UMNO bukan saja harus meneroka, tetapi menguasai media sosial. Media sosial bukan sekadar untuk bersantai-santaian, tetapi di situlah tempat untuk kita mendengar suara rakyat Malaysia di zaman ini.

Bagi menghadapi cabaran politik semasa, Wanita UMNO tidak boleh lagi menghadkan diri sebagai jentera pilihanraya sahaja, tetapi perlu memperkuatkan pergerakan kita sebagai jentera politik juga. Sekian lama UMNO lazim menerima tohmahan dan fitnah dari pembangkang, tanpa membuat serangan balas. Kita jarang membuat pendedahan kemungkaran pembangkang yang bertimbun dan berleluasa, sehinggakan ada rakyat yang menganggapkan pembangkang seperti malaikat, nauzubillah. Misalnya ada rakyat yang percaya pembohongan Pakatan Rakyat bahawa 40,000 (empat puluh ribu) pekerja Bangladesh mengundi semasa PRU 13, masyaallah. Kita dalam UMNO sering biarkan pembangkang tipu dan cucuk hidung rakyat, malah kita biarkan diri kita diganaskan dengan rogol politik atau "political rape" pembangkang, tanpa kita membuat serangan balas. Oleh kerana kita beradab mungkin ada yang menganggap kita lemah walhal kita berhemah. Maka dengan itu, kita sebagai ibu tidak boleh membiarkan musuh menyerang bulat-bulat begitu sahaja. Kebangkitan suara srikandi Wanita UMNO akan menjadi benteng mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara. Membujur lalu melintang patah, biar putih tulang, jangan putih mata dalam perjuangan.

Sekian lama, kita Wanita memberi tumpuan kepada kerja-kerja amal, kemasyarakatan, kebajikan dan amal jariah yang lain. Kita kuat memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan wanita, keluarga dan masyarakat, terutamanya pemerkasaan wanita di semua peringkat. Masanya sudah tiba untuk Wanita mempertingkatkan perjuangan kita untuk menjadi jentera politik dalam UMNO, selain daripada menjadi jentera pilihanraya sahaja. Kombinasi Wanita UMNO selaku jentera pilihanraya dan jentera politik akan membawa kekuatan luar biasa kepada UMNO. Puan-puan semua mempunyai bakat, potensi, pengalaman dan semangat yang jitu untuk menjadikan ini sebagai satu realiti. Jika ini dapat dijayakan oleh Wanita UMNO, maka percayalah, kita wanita yang akan memimpin transformasi, dan melakar perubahan dalam parti dan negara tercinta.

MEMPERJUANGKAN RAKYAT
Tan Sri Pengerusi dan para perwakilan,

UMNO ditubuhkan sebagai sesuatu parti massa. UMNO bukanlah sebuah parti elit. UMNO ditubuhkan oleh orang Melayu melalui satu resolusi Kongres Melayu Se-Malaya yang diadakan pada 1-4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman. Dato' Onn Jaafar dari Persatuan Melayu Johor dipilih sebagai pengerusi kongres yang pertama. Semua wakil persatuan Melayu berucap, termasuklah dua orang kanak-kanak. Tiga resolusi dibuat dalam kongres itu, iaitu pertama menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO; kedua, menentang Malayan Union, dan ketiga, mengadakan derma pelajaran kebangsaan Melayu.

Dari tarikh penubuhannya sehingga kini, UMNO tidak berhenti-henti memperjuangkan isu rakyat. Alhamdulillah, hasil perjuangan UMNO, kadar kemiskinan Bumiputera di negara ini turun dari 64.8% pada tahun 1970 kepada 2.2% sekarang. Purata pendapatan kasar isi rumah Bumiputera pula meningkat dari RM172 pada tahun 1970 kepada RM4,457 (empat ribu empat ratus lima puluh tujuh) sekarang. Hasil perjuangan UMNO dalam bidang pendidikan, bilangan profesional Bumiputera berdaftar meningkat dari 5% pada tahun 1970 kepada 45% pada masa ini.

Kadar pengangguran di Negara kita pada masa ini ialah 3.1% atau kadar guna tenaga penuh. Jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat, kadar penganggurannya ialah 7.3% dan Australia 5.8%, kita seharusnya bersyukur kepada Allah S.W.T kerana rakyat Malaysia secara rata-rata mempunyai pekerjaan, ada kediaman dan ada makanan terhidang.

Suatu masa dulu, kita mungkin hidup dalam kemiskinan. Saya percaya sebahagian besar kita yang ada dalam dewan ini dulunya keluarga susah. Alhamdulillah, hari ini kita keluar dari kemiskinan itu. Anak-anak kita ramai yang menjadi profesional. Atau paling kurang, mereka keluar universiti dan kini sudah bekerja bagi membantu keluarga.

Mustahil orang yang ditindas dan dizalimi menjalani kehidupan seperti kita pada hari ini. Hanya di Malaysia, golongan yang mengaku marhaen ada beberapa buah kereta, malah ada dua tiga handphone, setahun sekali pergi melancong ke luar negara dan mengerjakan umrah. Hanya di negara kita, golongan yang mengatakan mereka dizalimi pergi berdemonstrasi naik BMW, Mercedes dan Camry, dan kemaskini Facebook dan Twitter gunakan Apple, Blackberry dan Samsung smartphone!

Begitulah transformasi yang berlaku dalam kehidupan rakyat dan ia dapat dilihat dengan mata kepala kita sendiri. Saya ingin mengatakan bahawa kesemua ini adalah kejayaan perjuangan kita melalui Wanita UMNO. Sekiranya tidak dengan kebijaksanaan rakyat yang mengundi Perikatan dan kini Barisan Nasional, sekiranya tidak dengan kegigihan Wanita UMNO, dan sekiranya tidak dengan kebijaksanaan pemimpin parti, apa yang disebutkan itu mungkin tidak menjadi realiti.

Saya ingin mengingatkan parti-parti pembangkang, usahlah menganggap semua orang boleh membangunkan negara. Usahlah kufur dengan nikmat Tuhan. Usahlah menjadi manusia yang tidak tahu berterima kasih. Ada negara yang semakin miskin dek sikap pemimpin yang rakus dan tamak. Ada negara yang bagaikan penjara disebabkan pemimpin yang diktator dan menganggap diri sendiri saja yang betul. Alhamdulillah, di Malaysia kita tidak berhadapan dengan perkara-perkara sedemikian, walaupun pembangkang ingin kita mempercayai begitu.

Kenaikan kos sara hidup masih merupakan isu utama bagi sebahagian besar rakyat. Dalam hal ini, saya ingin menegaskan pendirian Wanita UMNO bahawa sementara kita menyokong perlaksanaan GST, saya ingin mengingatkan kerajaan agar ia dilaksanakan secara yang tidak membebankan golongan berpendapatan rendah. Dengar pandangan rakyat berpendapatan rendah dan laksanakanlah GST tanpa membebankan mereka.

Wanita UMNO juga inginkan kerajaan melihat soal perumahan rakyat. Soal ini berkait rapat dengan kesejahteraan dan keharmonian keluarga. Walaupun kita menyambut baik usaha-usaha PR1MA dan SPNB serta pemberian insentif kepada sektor swasta melalui Dana Mudahcara untuk pembinaan perumahan rakyat, kita berharap ia tidak dilakukan dengan cara mengurangkan keselesaan kepada pengguna. Rumah lebih dari sekadar tempat tinggal. Rumah adalah merupakan satu persekitaran untuk membesar dan mendidik anak-anak, serta membangun masa depan. Maka, perumahan rakyat harus mengambilkira semua keperluan-keperluan tersebut.

Satu lagi isu rakyat yang penting ialah jenayah. Wanita UMNO ingin melahirkan hasrat rakyat dalam hal ini dan mahukan kerajaan untuk terus memberikan tumpuan bagi membendung jenayah di negara ini. Pembunuhan, samun dan jenayah berat yang lain dan dilakukan secara terbuka bukan saja memberikan imej buruk kepada Negara, tetapi juga menimbulkan perasaan kurang senang rakyat. Wanita UMNO mendesak kerajaan untuk bukan saja mengambil langkah-langkah preventif, tetapi juga harus mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada agar ia boleh menjadi penghalang atau "deterrence" kepada jenayah sedemikian. Wanita UMNO menyokong usaha-usaha semua pasukan keselamatan Negara dan ingin mengucapkan jutaan terima diatas pengorbanan mereka.


Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan yang dihormati sekalian,

Wanita UMNO faham bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menguruskan hal-hal yang saya sebutkan tadi. Namun, akhir sekali ia berbalik kepada soal pelaksanaan. Banyak idea yang hebat akhirnya memberikan impak negatif kepada rakyat disebabkan kegagalan pelaksanaan atau sistem penyampaian. Saya menyeru kepimpinan Wanita UMNO menjadikan isu-isu rakyat sebagai sebagai tonggak perjuangan kita. Kita harus menjadi "mata kerajaan" untuk memastikan agar kesemua inisiatif-inisiatif ini dilaksanakan secara yang menguntungkan rakyat.

Dalam politik masa kini, adalah tidak cukup untuk kita sekadar melakukan bakti dan aktiviti. Apakah bakti dan aktiviti yang kita tidak terlibat? Apabila ada kenduri-kendara dan kematian, Wanita UMNO berada di hadapan. Apabila ada majlis dan keramaian di kampung dan taman perumahan, Wanita UMNO meramaikannya. Apabila ada gotong royong, Wanita UMNO berkeringat bersama. Walaupun itu bagus, namun ia tidak cukup dalam politik hari ini.

Rakyat ingin melihat Wanita UMNO juga melakukan advokasi khusus dalam isu-isu yang dekat dengan hati rakyat. Maka, Wanita UMNO mesti berani untuk bercakap dan dilihat memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan hati rakyat.

Dalam perbahasan Ucapan Dasar dan Usul pada hari ini, saya meminta para pembentang usul dan pembahas untuk membangkitkan permasalahan rakyat secara berani agar kepimpinan negara memahami isu sebenar dan rakyat melihat peranan kita dalam memperjuangkan isu-isu mereka.

Wanita UMNO harus menjadi pendesak yang mampu memberikan cadangan secara konstruktif kepada apa yang kita perjuangkan. Sekiranya kita tidak bersetuju dengan kerajaan, maka cadangkan apa yang perlu dilakukan. Usah menjadi seperti tikus memperbaiki labu.

MEMBINA KAPASITI WANITA
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,

Selama ini Wanita UMNO telah memperjuangkan dasar 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam dan swasta. Alhamdulillah, kerajaan menyambut baik dan kita telah melihat perubahan demi perubahan dalam aspek ini. Alhamdulillah, Dasar Wanita Negara telah membantu meningkatkan penyertaan wanita dalam kumpulan pengurusan di sektor awam daripada 6.9% pada tahun 1995 kepada 18.8% pada tahun 2004 dan seterusnya kepada 30.5% pada tahun 2010. Manakala bagi sektor swasta, ia meningkat daripada 13.5% pada tahun 2004 kepada 26.2% pada tahun 2010.

Untuk mempersiapkan Wanita Malaysia menghadapi cabaran masa depan, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan Akademi Inovasi Wanita atau Women Innovation Academy (WIN). Salah satu fungsi WIN yang akan diletakkan di bawah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) ialah untuk membangunkan kapasiti wanita dalam pelbagai sektor strategik negara. Akademi ini akan merangka program-program kepimpinan, keusahawanan, inovasi untuk golongan wanita. Bagi pihak Wanita UMNO, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana memahami aspirasi kami dan bersetuju menubuhkan WIN.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kerajaan, khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang telah menyahut saranan YAB Perdana Menteri supaya Perkhidmatan Awam ditransformasikan bagi menjamin penyampaian perkhidmatan awam lebih efisien, efektif dan berjiwa rakyat.

Saya mengucapkan syabas kepada JPA yang telah berjaya membangunkan Kerangka Kerja Transformasi JPA (KTJPA) dengan menggunakan kepakaran dalaman (in-house expertise). Saya dimaklumkan bahawa KTJPA kini sedang rancak dilaksanakan di JPA dan disemarakkan ke seluruh kementerian dan agensi Kerajaan.


Saya percaya KTJPA yang bermatlamat mewujudkan Perkhidmatan Awam yang berprestasi tinggi, dinamik dan berjiwa rakyat akan menjadi kenyataan. Teras-teras strategik yang telah dibentuk bagi mendaya upaya bakat, mengukuhkan organisasi, merakyatkan Perkhidmatan Awam (citizen-centric public service), memperhebatkan keterangkuman dan membudayakan integriti telah mengambil kira kepentingan dan kebajikan penjawat awam wanita. Peranan wanita dalam Perkhidmatan Awam telah lama diberikan pengiktirafan. Walaubagaimanapun, potensi mereka perlu terus digilap dan bakat mereka didaya upayakan agar mereka dapat memberi sumbangan yang lebih bermakna dalam mencapai agenda transformasi negara.

Setiap seorang dari kita ada sanak-saudara dan adik-beradik yang bekerja dalam sektor awam. Mungkin suami kita, mungkin anak-anak kita, mungkin saudara kita. Paling tidak, jiran kita. Sebab itulah kita berasa sedih dan terhina apabila ada pemimpin politik pembangkang di Pulau Pinang yang menggelarkan penjawat awam sebagai "kucing kurap" dan tidak mahu berurusan dengan pegawai berpangkat rendah.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyentuh tentang aspek pengumpulan data berasaskan pecahan jantina atau sex disaggregated data. Walaupun pada masa ini kerajaan telah mengarahkan semua agensi kerajaan untuk mengumpul data dan sebagainya menerusi Surat Pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara. Saya ingin mencadangkan supaya satu kajian komprehensif dijalankan untuk meneliti bagaimana usaha pengumpulan data ini dapat dipertingkatkan serta dibuat secara lebih berkesan.

Selain itu, saya ingin menyeru supaya pengumpulan data berasaskan pecahan jantina turut diperluaskan ke sektor swasta, misalnya sektor perbankan. Sesungguhnya pengumpulan data ini penting bagi membantu kerajaan menganalisis kedudukan semasa Wanita di Malaysia supaya inisiatif dan intervensi yang affirmative dapat dilakukan dengan sewajarnya.

MEMBANGUNKAN WANITA DALAM EKONOMI
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,

Walaupun wanita sudah lama menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, sehingga kini wanita masih belum dilihat menguasai bidang ini. Malah, perbahasan mengenai isu keusahawanan sehingga kini tidak mendalam sehingga meninggalkan impak kepada wanita.

Dalam hal ini, saya menyarankan agar Wanita UMNO di semua peringkat menjadikan agenda pembangunan keusahawanan sebagai satu lagi teras perjuangan parti. Walaupun kita akan terus memantapkan program-program politik dan sosial melalui jentera Wanita UMNO, kita sewajarnya memperjuangkan isu keusahawanan khusus untuk memastikan penglibatan wanita secara signifikan dalam ekonomi negara.

Wanita seringkali dikaitkan dengan perusahaan mikro atau dalam bahasa yang mudah, perniagaan kecil-kecilan. Daripada keseluruhan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, hanya satu perempat adalah syarikat Bumiputera dan 88% syarikat tersebut adalah perusahaan mikro; iaitu syarikat yang mempunyai pendapatan tahunan kurang dari RM250,000 (dua ratus lima puluh ribu) atau lima orang kakitangan.

Walaupun perniagaan kecil, usahawan wanita inilah yang telah mengeluarkan keluarga dari kemiskinan dan mendidik anak-anak sehingga mereka masuk universiti dan menjadi professional. Usahawan wanita juga adalah peminjam yang baik. Daripada 380,000 (tiga ratus lapan puluh ribu) sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, hampir kesemuanya wanita dan mereka membayar pinjaman yang dibuat dengan baik. Begitulah hebatnya usahawan wanita.

Sementara kita menerima pencapaian ini, kita harus mengangkat lagi kedudukan dan prestasi wanita dalam ekonomi negara. Kita tidak mahu selamanya wanita dikaitkan dengan perusahaan mikro. Kita mahu melihat wanita bukan saja memiliki, tetapi menguasai perniagaan sederhana dan besar. Kita juga mahu melihat wanita juga memiliki dan menguasai syarikat-syarikat dalam sektor-sektor perniagaan strategik.

Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,

Pada 14 September lalu, Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Najib Tun Abd Razak telah melancarkan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. Agenda ini adalah pengukuhan dan lanjutan kepada Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan oleh beliau pada 26 November 2011. YAB Perdana Menteri telah menggariskan lima teras dan 34 titik sentuhan (touch points) untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera. Lima bidang tumpuan yang disebutkan oleh YAB Perdana Menteri merangkumi mendaya modal insan, memantapkan pemilikan ekuiti korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan perniagaan, dan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Pengumuman mengenai penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera, KPI Bumiputera dalam GLC, dan penubuhan Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, di kementerian-kementerian yang akan diselia oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), adalah antara intervensi strategik untuk membolehkan usahawan Bumiputera bersaing sesama sendiri. Inilah yang disebutkan oleh YAB Perdana Menteri, sebagai meritokrasi dalam pembangunan ekonomi Bumiputera.

Antara inisiatif membangunkan keusahawanan Bumiputera, termasuklah menyediakan peluang perniagaan melalui strategi "carve-out and compete", penyumberan luar (outsourcing), dan pembangunan vendor.

Sementara kita ingin tentukan peningkatan Bumiputera dalam pemilikan aset kewangan dan bukan kewangan, kita mahu juga melihat wanita diwakili secara signifikan dalam agihan tersebut. Kita mahu ekonomi Bumiputera berkembang, dan pada masa yang sama pemilikan dan penguasaan wanita juga berkembang, sekaligus mencerminkan perwakilan wanita yang sewajarnya.


Saya mencadangkan agar Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan sekretariatnya TERAJU bukan sekadar memantau pencapaian Bumiputera, tetapi juga ada kesaksamaan gender sama ada dalam latihan keusahawanan, pembiayaan dan peluang-peluang perniagaan, termasuklah dalam projek-projek besar. Saya ingin melihat wanita bukan sekadar menjadi tulang belakang dalam politik, tetapi juga rakan kongsi keusahawanan. Tan Sri Pengerusi Tetap, saya rasa kita Wanita UMNO ada potensi besar dalam perniagaan. Takkanlah selama-lamanya kita sekadar menjadi "sleeping partner" saja!

Walaupun kerajaan mempunyai banyak agensi pembangunan keusahawanan, namun kita masih mendengar rungutan usahawan wanita sukar mendapat maklumat pembiayaan, infrastruktur dan insentif. Dalam konteks wanita terutama yang sukar untuk bergerak jauh (limited mobility), keadaan ini menjadikan mereka sukar mendapatkan maklumat.

Saya ingin mencadangkan juga, agar kerajaan membangunkan pusat sehenti maklumat keusahawanan, atau One Stop Referral Center (OSRC) di seluruh Negara, bagi memudahkan usahawan Wanita mendapat maklumat keusahawanan, yang disediakan oleh kerajaan. Dengan adanya pusat ini, usahawan hanya perlu pergi ke satu tempat saja, untuk mendapatkan maklumat, dan ini memudahkan saluran maklumat kepada mereka.

POLITIK PERJUANGAN
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,

Walaupun kita baru saja selesai pemilihan parti dan pilihanraya umum, persediaan untuk menuju pilihanraya umum ke-14 mesti bermula dari sekarang. Lima tahun bukanlah satu jangka masa yang lama. Jentera parti harus digerakkan ke arah itu mulai sekarang. Usah tunggu esok, usah tunggu lusa.

Wanita UMNO pada semua peringkat, mestilah menyedari, bahawa persiapan menuju pilihanraya umum ke-14 lebih mencabar, berbanding sebelumnya. Kalau PRU 13 digelar "Mother of all battles" maka untuk PRU 14 mungkin "Father of all battles". Kehadiran media social, menjadikan pengurusan isu-isu politik lebih mencabar, kita Wanita UMNO mesti menukar cara kita bertugas. Kita melihat bagaimana pemimpin-pemimpin UMNO, telah menjadi mangsa fitnah dan berita separuh benar di media sosial.

Walaupun parti dan pemimpin kita diserang sedemikian rupa, namun UMNO tidak harus kehilangan arah, atau rasa lemah. Kita harus sentiasa ingat, bahawa perjuangan kita adalah kerana Allah, untuk Agama, Bangsa dan Negara. Perjuangan UMNO lebih besar dari sebuah parti politik, apatah lagi individu, dalam dan luar parti.

Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,

Walaupun sudah saban tahun kita berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra, sesungguhnya perjuangan kita baru saja bermula. Di antara lain, kita Wanita UMNO mesti berikrar, untuk terus bekerja dengan penuh disiplin, komitmen dan strategic, bagi menentukan Barisan Nasional menang dalam PRU 14 nanti.
WANITA UMNO: TERAS DAN TULANG BELAKANG UMNO

Setelah 66 tahun perjuangan wanita didalam UMNO, saya bertekad supaya sumbangan dan pengorbanan Wanita UMNO mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Masanya sudah tiba untuk Wanita UMNO diiktirafkan sebagai teras, dan tulang belakang UMNO, dan bukan lagi satu di antara 3 sayap dalam UMNO.

Wanita UMNO adalah ibu di dalam parti. Pemuda dan Puteri adalah anak-anak kepada Wanita. Bukan naluri seorang ibu untuk bersaing dengan anak-anak. Seorang ibu bersama bapa, membimbing dan memimpin anak-anak dalam sebuah keluarga, begitu juga dalam keluarga politik.

Kita Wanita menghormati semua pemimpin, termasuklah kaum bapa, tetapi masa sudah tiba, untuk kita Wanita UMNO mendapat pengiktirafan, bukan kerana kita wanita, tetapi kerana jasa bakti, keahlian, komitmen, pengorbanan, semangat dan sumbangan kitalah yang membawa kepada kestabilan parti.

Saya berdoa, semasa YAB Dato' Sri Najib menjadi Presiden UMNO, akan berlaku transformasi politik dalam UMNO untuk Wanita, dimana Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, diiktiraf sebagai teras dan tulang belakang UMNO, dan bukan lagi sayap dalam UMNO.

Selain itu, saya juga berdoa, pemimpin Wanita yang berkelayakan, akan diberi tempat membuat keputusan yang lebih bermakna, bermula dari cawangan, bahagian, negeri, hinggalah ke peringkat kebangsaan. Maka dengan itu, wahai Wanitaku sayang, mari kita berikrar, kita akan memimpin transformasi yang akan melakar perubahan.

Jadi pemimpin kita amanah
Taat pegang janji dan sumpah
Kepada sahabat kita peramah
Kepada ketua kita berhemah
Pemimpin amanah bawa barakah
Bersama tegak tuah dan maruah

Kita berani sebagai srikandi
Taat sumpah pegang janji
Hadapi musuh berani mati
Di atas yang benar kita berdiri
Kitalah payong, kitalah panji
Semoga perjuangan kita, Allah berkati

Hidup Wanita UMNO!
Hidup Melayu!
Hidup UMNO!


Wabillhitaufik wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Comments

Popular Posts