CANDI YANG DIMUSNAHKAN BOLEH DIBINA SEMULA : MUKHRIZ


ALOR SETAR:  Candi 11 di Sungai Batu dalam Lembah Bujang, Merbok yang dimusnahkan adalah struktur batu yang dibina semula pada 1974 di atas tapak asal candi yang dibina antara kurun ke-8 hingga 11 Masehi.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri kesal dengan pemusnahan itu kerana ia dianggap tapak warisan negara yang patut dipelihara.

"Tapak-tapak candi di Lembah Bujang adalah tapak warisan yang tidak digunakan sebagai tempat penyembahan sejak berkurun-kurun lamanya," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa bagi mengulas protes banyak pihak terhadap pemusnahan candi 11 oleh sebuah syarikat pemaju.

Dalam kenyataannya Mukhriz memperjelaskan syarikat terbabit adalah pemilik tanah berkenaan dan mendapat kelulusan memajukannya pada 1993 tetapi pembersihan hanya dilaksana pada Ogos tahun ini apabila ia memusnahkan candi tersebut.

Katanya kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mengarahkan syarikat berkenaan menghentikan segera pembersihan di tapak candi 11.

"Candi yang sama boleh dibina semula atas tapak asal dengan persetujuan syarikat atau di tapak lain yang berhampiran dengan tapak ekskavasi Universiti Sains Malaysia (USM) di Sungai Batu. Pelan candi 11 akan dirujuk bagi memastikan reka bentuk dan bahan digunakan sama seperti di tapak asal.

"Kerajaan menitikberatkan usaha memelihara semua jenis warisan turun-temurun di negeri ini. Bagi memastikan tapak-tapak warisan di lebih 100 lokasi di Lembah Bujang tidak musnah dimamah zaman akibat pembangunan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bersetuju menimbang permohonan kerajaan negeri agar tapak-tapak warisan yang dikenal pasti mempunyai nilai warisan diwartakan," kata Mukhriz.

Beliau berkata kerja-kerja ekskavasi yang dilaksanakan oleh pakar-pakar arkeologi USM akan diteruskan sehingga kawasan Lembah Bujang boleh dibangunkan sebagai tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa.

Kajian arkeologi di kawasan Sungai Batu mendedahkan tapak tersebut digunakan sejak kurun ke-5 Masehi hingga kurun 17 Masehi. Tamadun Sungai Batu juga adalah yang tertua berasaskan industri peleburan besi.- BERNAMA

ps: tinggalan sejarah WAJIB dikekalkan agar generasi akan datang melihat warisan tersebut. Demi mengekalkan kecintaan kepada sejarah negara sendiri.

Comments

Popular Posts