#PAU 2013 : PEMUDA UMNO DESAK TNB DAN GLC TIDAK LUPA TANGGUNGJAWAB KEPADA RAKYAT

KUALA LUMPUR:  Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya tidak mementingkan presasi kewangan semata-mata.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata Pemuda UMNO mahu TNB dan GLC-GLC yang lain supaya tidak melupakan tanggungjawab kepada rakyat.

Desakan itu dibuat Pemuda UMNO ekoran pengumuman kenaikan tarif elektrik baru-baru ini yang akan bermula awal tahun depan.

"Bagi Pemuda, kenaikan tarif yang tidak setara dengan peningkatan kos bahan api hanya menguntungkan TNB yang tampak mementingkan kantung pemegang saham, bukan rakyat jelata. 

"Kepada TNB dan juga GLC-GLC yang lain Pemuda mendesak janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata, tanggungjawab kepada rakyat jangan sesekali dilupa," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Khairy berkata Pemuda UMNO juga mendesak agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbukti bersalah dalam mengurus aset atau perbelanjaan negara seperti yang didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara.

Katanya, Pemuda UMNO juga mahu agar proses audit yang berorientasikan pemantauan dan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera.
 
"Ini bagi membolehkan sebarang ketirisan dapat diketengahkan untuk tindakan kementerian yang terbabit semasa pengauditan dibuat, bukannya selepas seluruh proses itu selesai.


"Jika ada salah laku yang nyata, kita wajib dakwa, jangan sampai rakyat tertanya-tanya," katanya.

Khairy juga menegaskan Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya negara-negara asing yang dilapor mengintip Malaysia baru-baru ini.

"Jangan sesekali ada yang mengambil kesempatan atas diplomasi dan semangat persahabatan yang kita tunjukkan selama ini di peringkat antarabangsa.  Ini suatu penjarahan terhadap kedaulatan serta maruah negara kita. 

"Lantaran itu, Pemuda menggesa agar Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Luar Negeri dapat menyiasat punca dan cara pengintipan ini dijalankan," jelasnya.

Beliau juga menegaskan, Pemuda UMNO juga memohon agar kerajaan meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membina perumahan mampu mililk menambah jumlah rumah transit menerusi Program Rumah Transit untuk pasangan muda yang baru berkahwin. - Astro Awani

Comments

Popular Posts