RAKYAT DIGALAK BERI CADANGAN MENGENAI BELANJAWAN 2014


IPOH:  Masyarakat awam digalakkan memberi pandangan dan  dan cadangan mengenai Belanjawan 2014 melalui kiriman emel, memorandum atau surat kepada Kementerian Kewangan untuk kerajaan meletakkan teras kukuh dalam rangka perbelanjaan tahunan itu.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata setiap kumpulan masyarakat awam boleh mengemukakan apa sahaja pandangan atau cadangan dari perspektif mereka dan ia akan dinilai pasukan khas kementerian itu.

"Sesiapa sahaja, anda boleh menghantar surat kepada Kementerian Kewangan (MOF) mengenai apa sahaja pandangan anda, jangan bimbang, pandangan yang betul atau salah dari perspektif anda, tidak mengapa.

"Anda hanya berikan kepada kami dan kami mempunyai pasukan untuk mengkajinya dan membuat penilaian. Apabila kami bentangkan belanjawan itu, ia bukan belanjawan kerajaan semata-mata tetapi belanjawan negara, belanjawan rakyat," katanya kepada pemberita selepas bersarapan bersama-sama penduduk Gugusan Manjoi di sini hari ini.

Katanya kementerian itu turut mengadakan perbincangan secara bersama dengan agensinya selain mula mendapat maklum balas daripada kumpulan fokus seperti badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan, tenaga akademik institut pengajian tinggi dan perniagaan sebaik sahaja sesi perundingan belanjawan dimulakan.

"Kini, kita melihat Belanjawan bukan sekadar bajet untuk perbelanjaan tahunan sebaliknya ia juga adalah bertujuan untuk kita membangunkan negara dalam jangka panjang, maknanya kita ada matlamat besar iaitu menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi pada 2020," katanya.

Oleh yang demikian, Ahmad Husni berkata asas kepada pertumbuhan untuk mencapai matlamat besar itu perlu diletakkan sebagai teras dalam Belanjawan 2014 dengan kesemua maklum balas, pandangan, cadangan dan hasil perbincangan diteliti serta dinilai.

"Kita berharap setiap rakyat tampil ke hadapan memberi pandangan dan cadangan mereka. Isu ideologi (politik) telah tamat, masa pilihan raya kita ada ideologi parti  A, B, C dan D. Sekarang kita ada ideologi untuk membantu negara mencapai pendapatan tinggi, kejayaan kita semua akan memberi kesejahteraan kepada rakyat, jadi kita menuju ke depan untuk mencapainya," katanya.

Ahmad Husni, yang juga anggota Parlimen Tambun, berkata kerajaan akan memasukkan beberapa Aku Janji yang dibuat pada pilihan raya umum lepas dalam  Belanjawan 2014 seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan ditambah nilai peruntukannya dengan melihat kedudukan tahunan kewangan kerajaan.

Bagi belanjawan tahun ini, sasaran defisit 4.0 peratus dijangka dapat dicapai selepas mendapati pendapatan serta perbelanjaan negara menuju ke arah itu,  katanya.

"Pada tahun depan, kita sasar ia diturunkan kepada 3.5 peratus, dan pada tahun 2015 sebanyak 3.0 peratus sebelum kita terus berusaha untuk mendapatkan  belanjawan seimbang dan kemudian ada lebihan. Itu matlamat kita dari segi pengurusan kewangan negara," katanya.

Belanjawan 2014 dijangka dibentang di Parlimen pada Oktober ini, katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts