JOHOR LAYAK KE FINAL PIALA FA


Antara berita mendapat tempat pagi ini : pu3 semalam menonton perlawanan tersebut. Not bad. Memang hebat dan pu3 sukakan semangat yang ditunjukkan oleh penonton di stadium bukit jalil. Ok.. baca dulu.

KUALA LUMPUR:  Johor Darul Takzim (Johor DT) layak ke perlawanan akhir Piala FA 2013 walaupun kalah 1-2 kepada Pahang pada perlawanan separuh akhir kedua, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam ini.

Pasukan selatan tanah air itu layak dengan keputusan agregat 2-2 berdasarkan peraturan gol di tempat lawan, selepas menang 1-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 25 Mei lepas.

Perlawanan separuh akhir kedua itu diadakan di sini dengan Pahang kekal sebagai tuan rumah, selepas aksi yang dijadualkan 28 Mei lepas di Stadium Darul Makmur, Kuantan dibatalkan susulan kekecohan membabitkan penyokong kedua-dua pasukan.

Pada babak pertama aksi hari ini, Johor DT bimbingan bekas legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad seolah-olah tenggelam punca apabila gawang mereka dibolos seawal minit kedua menerusi jaringan pemain import dari Argentina Matias Ruben Conti.

Pahang yang semakin yakin selepas meletakkan kedudukan agregat 1-1 terus mengasak, menyebabkan Fandi memasukkan K. Thanaraj menggantikan Irfan Abdul Ghani pada minit ke-21 bagi memperkuatkan benteng pertahanan Johor DT.

Kemasukan pemain itu bagaimanapun tidak mampu mengekang kemaraan Pahang yang memperoleh gol kedua pada minit ke-40, sekali lagi menerusi Conti yang menyambar hantaran Amirul Hadi.


Bersambung separuh masa kedua, Fandi melakukan perubahan taktikal dengan memberikan penekanan kepada aspek serangan.

Hasilnya pemain sayap import dari Brazil, Andrezinho, muncul wira Johor DT apabila menjaringkan gol pada minit ke-48, menjadikan agregat 2-2 yang kekal sehingga tiupan wisel penamat oleh pengadil perlawanan Syed Azhar Syed Kamar.

Johor DT akan bertemu juara bertahan, Kelantan pada final Piala FA, 29 Jun ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kelantan mara selepas menewaskan jiran mereka, Terengganu dengan keputusan agregat 6-5. Kali terakhir Johor mara ke final Piala FA ialah pada 1998 yang menyaksikan pasukan Harimau Selatan itu menjulang trofi berkenaan selepas mengalahkan Sabah 1-0. -BERNAMA

Comments

Popular Posts