PANDANGAN DIDENGAR SEBELUM BN JADI PARTI TUNGGAL : NAJIB


KUALA LUMPUR:  Pandangan ahli UMNO diperingkat akar umbi akan diambil kira sebelum keputusan menjadikan Barisan Nasional (BN) parti tunggal dilaksanakan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pandangan akar umbi diperlukan kerana parti itu sangat dekat dan disayangi ahlinya.

"Sebarang perubahan perlu dihalusi secara mendalam supaya perubahan diterima oleh ahli-ahli UMNO kerana kita memahami bahawa UMNO sangat dekat dan disayangi oleh ahli-ahlinya.

"Kita perlu mendapatkan pandangan ahli-ahli UMNO sebelum melaksanakan cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional sebagai parti tunggal," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini.

Najib juga menjelaskan mesyuarat majlis tertinggi UMNO membincangkan cadangan menjadikan BN sebagai parti tunggal dan memutuskan untuk mewujudkan sebuah makmal bagi mengkaji cadangan tersebut.
"Cadangan tersebut akan dikaji terlebih dahulu diperingkat makmal sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Cadangan menjadikan BN sebagai parti tunggal disuarakan pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn yang mahu BN bersifat sebagai satu parti.

Chang sebelum ini berkata usaha ke arah itu perlu dilakukan kerana PRU13 menunjukkan pengundi bandar dan pengundi muda tidak lagi mengundi berdasarkan kaum.

Selain membincangkan cadangan supaya BN dijadikan parti tunggal, Najib juga menjelaskan mesyuarat MT UMNO juga turut membincangkan prestasi parti itu dalam PRU-13.

Katanya, kesimpulan yang dibuat ialah UMNO muncul parti terkuat dalam pilihan raya umum yang lalu dan menunjukkan prestasi yang meningkat berbanding 2008.

Pada PRU-13, UMNO memperolehi 88 kerusi daripada 133 kerusi yang dimenangi oleh BN berbanding 79 kerusi pada pilihan raya umum 2008.

"UMNO sebagai parti tunggal boleh menyaingi pakatan pembangkang yang tediri daripada tiga buah parti dan undi yang diperolehi UMNO juga meningkat 30 peratus," katanya yang turut menegaskan UMNO perlu terus berjuang dan melakukan pemantapan parti.

Beliau juga menjelaskan untuk memantapkan lagi parti, MT UMNO menerima cadangan Jawatnkuasa Pengurusan yang diketuai oleh Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengkaji semula pentadbiran ibu pejabat parti.

Najib menjelaskan bidang pengkhususan sepenuh masa seperti penyelidikan dan media sosial akan diwujudkan yang memerlukan tenaga kerja yang berdedikasi untuk melaksanakan tugas tersebut. - Astro Awani

Comments

Popular Posts