KEBEBASAN INTERNET YANG BERTANGGUNGJAWAB DIPERTAHANKAN : SHABERY


KUALA LUMPUR:  Kerajaan akan terus mendukung dan melindungi prinsip kebebasan bersuara, dan tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana kumpulan yang menuntut penapisan internet, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata demikian sebagai kenyataan balas kepada pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi bahawa kerajaan tidak akan mengenakan keperluan pelesenan kepada portal berita.

"Rakyat Malaysia, terutama pengguna media sosial, harus mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, yang merupakan jaminan beliau sendiri yang tidak akan ada keperluan pelesenan pada portal berita seperti yang sedang dilakukan oleh Singapura.

"Saya rasa ini adalah selaras dengan prinsip bahawa kerajaan sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara tanpa penapisan dan sebagainya," kata Shabery kepada Astro Awani pada Malam Kewartawanan Malaysia 2013 malam tadi.

"Saya merasakan bahawa keputusan ini tidak membuatkan kita melangkah satu tapak ke belakang ... seperti China ataunegara-negara Arab yang mengenakan sekatan keatas Facebook dan Twitter. Kita tidak menuju ke arah itu, "katanya.

Walau bagaimanapun, Shabery menekankan bahawa rakyat seharusnya membalas kebebasan ini dengan menjadi lebih bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan, apa yang mereka tulis dan muat naik bahan dalam talian.

"Apa yang penting, perlu diingat ialah bahawa tiada kebebasan tanpa pertanggungjawaban," katanya.

Sebagai contoh, Shabery berkata warga internet tidak seharusnya bersembunyi di sebalik nama atau akaun palsu.

Shabery juga melihat aspek pendidikan adalah penting untuk menggalakkan penggunaan ruang siber secara sihat.

"Di Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM), kita mempunyai kempen " Klik dengan bijak ". Ia bermakna anda klik pada perkara-perkara yang sewajarnya, berfikir sebelum anda klik, dan tidak klik sebarangan keatas apa sahaja yang boleh diklik, "katanya.

"Sama seperti di lebuh raya, anda mengawal stereng sambil menikmati pemanduan, tetapi ada hadnya dan tingkah laku anda perlu mematuhi had ini. Jangan memandu secara melulu, tidak melebihi had laju, dan sebagainya. "

Beliau berkata, pendidikan harus bermula dari sekolah "Berumur 10 tahun pun mempunyai Facebook sekarang"

Menjelaskan sebuah laporan baru-baru ini di mana beliau telah dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan tidak menolak kemungkinan mengkaji sekatan ke atas media sosial, Shabery berkata ia bermaksud kerajaan tidak akan tergesa-gesa untuk menuruti langkah negara-negara lain yang mengenakan sekatan di internet, walaupun wujud tekanan daripada kumpulan-kumpulan tertentu.

"Saya berkata bahawa kita tidak tergesa-gesa dan kita perlu mengkaji. Apabila kita mengadakan perbincangan dalam Kabinet, saya amat gembira bahawa kita tidak perlu menuju ke arah itu (sekatan internet). Berdasarkan penelitian kami dan mengambil pandangan orang ramai, selain melihat kebolehan pelaksanaan langkah-langkah yang diambil oleh beberapa negara mengenai perkara ini, kami membuat kesimpulan bahawa sekatan demikian tidak bersesuaian buat Malaysia. "

"Ramai bertanya, mengapa tidak mencontohi langkah China, Iran, Singapura atau sesetengah negara Arab. Mereka berpendapat Facebook dan laman web tertentu wajar disekat. Kami tidak akan mengikut langkah itu, " ulang Shabery.

"Mengambil contoh langkah Singapura mengadakan sekatan, tiada sebarang jaminan samada kerajaan republik itu mampu mengawal laman-laman blog juga?"

"Kita mempunyai 14 juta pengguna Facebook di Malaysia. Apakah kita juga perlu menubuhkan Jabatan Pendaftaran Negara Facebook (untuk mengawal penggunaannya)?" tanya beliau. - Astro Awani

Comments

Popular Posts