PENGUMUMAN OPS DAULAT. SABTU
Melaka: Ops Daulat menentang pencerobohan pengganas Sulu di Felda Sahabat, Lahad Datu akan ditentukan sama ada ditamatkan atau sebaliknya, Sabtu ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan membuat pengumuman itu pada majlis khas berhubung Ops Daulat di Lahad Datu, Sabtu ini.
Keputusan itu nanti akan menentukan tugas anggota pasukan keselamatan yang ditempatkan dalam operasi berkenaan sama ada kembali ke kem masing-masing atau diserapkan terus ke dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang berpangkalan di Lahad Datu.
Panglima Tentera Darat (PTD) yang baru, Datuk Raja Mohd Affandi Raja Mohd Noor, berkata setakat ini kebanyakan anggota tentera yang terbabit dalam Ops Daulat masih berada di kawasan operasi sekitar Gugusan Labian dan menunggu arahan lanjut kementerian sama ada meneruskan operasi itu atau sebaliknya.
"Menteri Pertahanan yang akan buat pengumuman. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut. Kita tunggu pengumuman itu dibuat," katanya pada sidang media sempena program Hari Kementerian Pertahanan Bersama Media, di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) di Kem Sungai Udang, dekat sini semalam.
Yang turut hadir, Komandan PULPAK, Kolonel Jamaluddin Jambi.
Program itu dihadiri 87 wakil media, termasuk 17 wanita, bertujuan memperkukuh kerjasama kementerian itu dengan media bagi meningkatkan pengetahuan anggota masyarakat terhadap fungsi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain diberikan penjelasan mengenai PULPAK yang melahirkan anggota Grup Gerak Khas (GGK) atau komando yang berfungsi sebagai anggota elit Tentera Darat Malaysia (TDM), wakil media turut diberi peluang menjalani latihan menembak, menggunakan MP5 dan pistol.
Ops Daulat dilancarkan ATM pada 5 Mac lalu bagi menghapuskan ancaman pengganas Sulu yang mencerobohi Kampung Tanduo di Felda Sahabat, Lahad Datu mulai akhir Februari lalu dan belanjutan hingga sekarang.
Beberapa siri pertempuran antara pasukan keselamatan yang dianggotai pegawai dan anggota ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyaksikan lebih 80 pengganas Sulu, termasuk ketua mereka, Jeneral Habib Musa Abdulla dibunuh, selain lebih 200 pengganas Sulu dan tali barut mereka ditahan untuk didakwa atas pelbagai kesalahan.
Dua anggota tentera terkorban dalam Ops Daulat manakala lapan pegawai dan anggota PDRM terkorban, masing-masing dua dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac lalu dan enam lagi dalam serangan hendap pengganas Sulu di Kampung Simunul, Semporna pada kira-kira jam 7.30 malam 3 Mac lalu.
Berikutan itu, kerajaan menubuhkan ESSCOM pada April lalu membabitkan usaha mendirikan pos kawalan sementara di beberapa lokasi strategik di sepaniang 1,400 kilometer (km) pantai timur Sabah selain membina kem ATM dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan yang sedang dikenal pasti sebagai lokasi pendaratan pengganas Sulu dan pendatang asing dari selatan Filipina.
ATM menggunakan pelbagai aset untuk menghapuskan ancaman pengganas Sulu dalam Ops Daulat, termasuk jet pejuang Hornet dan Hawk serta kereta perisai berantai atau Adnan. -BH
Comments
Post a Comment