TERSERAH KEPADA MCA UNTUK TARIK BALIK KEPUTUSAN : MUHYIDDIN


MUAR:  Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada pucuk pimpinan MCA sama ada ingin membatalkan keputusannya sebelum ini untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan.

Katanya, keputusan untuk mengkaji atau membatalkan tindakannya itu adalah hak parti tersebut dan Barisan Nasional (BN) hanya menerima apa sahaja keputusan mereka.

"Kalau ada apa-apa yang mereka nak kaji atau tarik balik itu terserah kepada mereka...sama ada nak buat keputusan (tarik balik) atau sebaliknya itu hak mereka.

"Saya tidak pasti sama ada masanya sudah tiba untuk mereka berbuat demikian, ada yang kata terlalu awal...soal MCA kita serah pada MCA," kata Muhyiddin.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Barisan Nasional (BN) di Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ahmad di Kundang Ulu, di sini pada Sabtu.

Majlis turut dihadiri oleh isteri beliau Puan Sri Noorainee Abd Rahman, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek serta pemimpin-pemimpin negeri dan parti komponen BN.

Muhyiddin mengulas kenyataan Chua semalam yang menyatakan keputusan MCA untuk tidak menerima sebarang jawatan di peringkat persekutuan mahupun negeri boleh dibatalkan menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) hujung tahun ini.

Chua berkata ia boleh dilakukan jika satu pertiga daripada 2,400 perwakilan pusat menyetujuinya.

Mengenai cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu tahun ini, Muhyiddin berkata terlalu awal untuk beliau mengulas tentang perkara itu.
"Sebagaimana yang kita tahu Umno merupakan sebuah parti demokratik.

"Bukan hak individu tetapi hak ahli dan hal parti. Saya tidak akan komen, nantilah apabila sampai masa yang sesuai," katanya.

Beberapa pihak termasuk Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan dan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia sebelum ini mencadangkan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Bagaimanapun, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berpendapat jawatan itu patut dipertandingkan kerana Umno merupakan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi dan prinsip keterbukaan kepada ahlinya. - BERNAMA

Jawatan presiden dan timbalan presiden umno patut dipertandingkan pada pemilihan parti akhir tahun ini kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Adnan berkata ia melambangkan Umno sebagai parti demokratik dan bersifat inklusif.

Ia juga membuktikan Umno sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi dan bersifat keterbukaan kepada ahlinya.

Jelasnya, apa saja jawatan dalam parti perlu melalui proses pertandingan.

Adnan sekali gus tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden tidak perlu dipertandingkan daripada beberapa pemimpin Umno.

Namun adnan turut menyatakan sokongan padu kepada kedua-dua pemimpin tertinggi parti,  iaitu datuk seri najib tun razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Adnan berkata, sebelum ini Najib dan Muhyiddin juga tidak pernah berkata bahawa jawatan yang dipegang mereka itu tidak boleh ditandingi.

Sebelum ini, badan perhubungan Umno Negeri Sembilan mencadangkan jawatan nombor satu dan dua parti tidak dipertandingkan. Ia bagi memastikan kekuatan parti terus utuh.

Cadangan itu mendapat sokongan naib-naib presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut menyokong cadangan berkenaan.

Selain naib presiden, dan ketua pergerakan pemuda, timbalan pengerusi badan perhubungan Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menyatakan sokongan sama.

Terbaru, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berpendapat jawatan itu juga sewajarnya tidak dipertandingkan.- Astro Awani

Comments

Popular Posts