JEREBU: SBY MOHON MAAF KEPADA MALAYSIA DAN SINGAPURA
JAKARTA: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono meminta maaf kepada Malaysia dan Singapura yang dilanda jerebu sehingga menjejaskan kualiti udara kedua-dua negara itu akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera.
"Atas apa yang terjadi ini, selaku presiden saya meminta maaf dan pengertian saudara-saudara kami di Singapura dan Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Presiden di sini pada Isnin malam.
"Tentu, tidak ada niat Indonesia atas apa yang terjadi," katanya.
Yudhoyono berkata pada masa ini kawasan yang terlibat dengan kebakaran itu iaitu Jambi, Bengkulu, dan Riau ditetapkan sebagai daerah bencana berstatus darurat, dan kerajaan pusat mengerahkan tenaga secara maksimum untuk menangani bencana itu.
Beliau berkata Indonesia bertanggungjawab penuh untuk mengatasi masalah itu dan beliau yakin ia akan dapat diatasi dengan segera.
Yudhoyono berjanji bahawa Indonesia akan berusaha memadamkan titik-titik api yang membakar hutan Indonesia dengan melakukan hujan buatan melalui pembenihan awan selain mengerah pasukan pemadam kebakaran di darat termasuk menggunakan tenaga anggota tentera.
Pada sidang akhbar itu Presiden Indonesia itu turut menyindir beberapa pegawai kerajaan republik itu yang menyebut nama syarikat perladangan yang dipercayai menyebabkan kebakaran itu, yang katanya tidak seharusnya mereka lakukan.
"Dari apa yang saya pantau setiap hari, ada pernyataan dari sejumlah pegawai yang menurut saya tidak semestinya disampaikan seperti itu," katanya.
Beliau berkata syarikat berkenaan belum dipastikan terlibat dalam pembakaran itu dan para pegawai kerajaan harus menghindari daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Kalau ada syarikat lalai, apa lagi menyebut namanya jelas tidak diperlukan seperti itu. Sama halnya menyebutkan syarikat asing yang dimiliki negara jiran kita, itu juga tidak diperlukan," katanya.'
Apa yang lebih penting pada masa ini ialah tumpuan kepada usaha mengatasi bencana kebakaran dan asap yang sudah berlarutan selama seminggu ini, katanya. - BERNAMA
Comments
Post a Comment