32 PESERTA BLACKOUT 505 BAKAL DISIASAT



KUALA LUMPUR 25 Jun - Seramai 32 penunjuk perasaan yang juga peserta Perhimpunan Black 505 yang ditahan di hadapan Parlimen semalam dibebaskan dari pusat tahanan Jinjang awal pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata penunjuk perasaan itu termasuk tiga wanita dibebaskan secara berperingkat dengan tahanan terakhir dibebaskan kira-kira pukul 2 pagi.

"Penunjuk perasaan disiasat di bawah Seksyen 9 (5) dan Seksyen 4 (C) Akta Perhimpunan Aman 2012. Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan," katanya ketika dihubungi Mstar Online.

Ku berkata mereka yang ditahan termasuk aktivis pelajar Adam Adli dan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Badrul Hisham Shaharin (atau lebih dikenali sebagai Chegubard) dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kami terpaksa mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan selepas mereka cuba memasuki kawasan Parlimen malah ada di antara mereka merempuh sekatan polis di luar kompleks tersebut.

"Kami memandang serius perkara tersebut kerana beberapa anggota polis bertugas mengalami kecederaan semasa pergelutan itu," katanya.

Beliau berkata polis akan melengkapkan kertas siasatan dan menyerahkan laporan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Perhimpunan itu dianggap salah disisi undang-undang kerana tiada notis diberikan kepada polis 10 hari sebelum perhimpunan diadakan," katanya. - KLPos dot com

Comments

Popular Posts