YDP AGONG TITAH SEMUA PIHAK SOKONG USAHA PM


KUALA LUMPUR:  Semua pihak perlu sokong agenda nasional dan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk baik pulih persefahaman kebangsaan.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah, prinsip seperti demokrasi berparlimen yang sihat dan matang perlu dijadikan teras dalam usaha itu.

Baginda bertitah, prinsip raja berpelembagaan perlu sebagai dasar kestabilan nasional selain menghormati falsafah persekutuan serta meraikan kepelbagaian.

Baginda juga bertitah, semua harus menjunjung keluhuran perlembagaan dan memuliakan kedaulatan undang-undang sebagai panduan kepada proses itu.

Seri Paduka bertitah pada istiadat menghadap dan pengurniaan darjah kebesaran persekutuan sempena hari keputeraan yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Dalam pada itu, baginda bertitah, kemajuan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi bergantung kepada permuafakatan yang dicapai semua pihak.

Baginda turut mengingatkan sesetengah pihak menghentikan persengketaan di kalangan rakyat demi kepentingan agenda sempit mereka.

Tegas baginda, agenda pengukuhan perpaduan nasional merupakan agenda setiap warganegara dan bukan tanggungjawab pihak tertentu sahaja.

Tuanku Abdul Halim juga melahirkan rasa sukacita kerana proses pilihan raya umum lepas berjalan dengan tertib dan harmonis.

Baginda turut meminta semua pihak menerima keputusan yang telah dibuat rakyat selaras dengan prinsip keluhuran dan kedaulatan undang-undang.

Titah baginda, rakyat harus menggunakan mahkamah sedia ada, perlembagaan dan undang-undang jika terdapat perbezaan atau ketidakpuasan hati.

Baginda mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak mengambil tindakan yang melampaui undang-undang atau perlembagaan negara.

Comments

Popular Posts