CADANGAN BN PARTI TUNGGAL TIDAK PRAKTIKAL : KADIR JASIN
KUALA LUMPUR: Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin menyifatkan cadangan menjadikan Barisan Nasional (BN) parti tunggal sebagai tidak praktikal dan menjangkakan ahli UMNO diperingkat akar umbi akan menolak usaha tersebut.
Katanya, jika Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa parti itu bertambah kuat dalam Pilihan Raya Umum ke-13, tidak ada sebab untuk ia dibubarkan dan bergabung dengan parti lain menjadi parti tunggal.
"Mengapa harus Umno dan parti-parti Bumiputera yang kukuh di Sarawak dan Sabah dibubarkan dan digabungkan menjadi parti tunggal semata-mata bagi melayan idea parti-parti Cina BN yang ditolak oleh orang Cina sendiri dalam PRU lalu?" katanya dalam tulisan terbaru di blognya kadirjasin.blogspot.com.
Beliau juga berpendapat hanya parti seperti Gerakan, MCA dan SUPP mungkin bersedia untuk menimbang cadangan untuk menjadikan BN parti tunggal.
"Yang mungkin bersedia menimbang idea parti tunggal BN adalah parti-parti komponen majoriti Cina yang nazak seperti Gerakan, MCA dan SUPP.
"Idea parti tunggal BN ini nampaknya dipengaruhi oleh cadangan Pemangku Presiden Gerakan, Chang Ko Youn, agar BN mengamalkan sistem keahlian terus (direct membership) yang pernah diamalkan oleh Perikatan sebelum diperbesarkan menjadi BN pada tahun 1973," tulis beliau.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP itu berkata jika UMNO dibubarkan bagi memberi laluan kepada penubuhan parti tunggal BN, kemungkinannya banyak ahli dan penyokongnya akan beralih kepada PAS kerana orang Melayu masih berasa mereka memerlukan parti Melayu dan Islam.
"Lagipun, masalah pokok BN bukan organisasi atau struktur, tetapi imej dan persepsi kepemimpinan BN yang negatif.
"Ubah struktur parti tanpa mengubah kualiti dan integriti kepemimpinan tidak akan menjadikan BN lebih diyakini dan disokong oleh pengundi," tambah beliau.
Semalam, Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO memberitahu sebuah makmal akan diwujudkan khusus untuk memperinci cadangan menjadikan BN sebagai parti tunggal.
Beliau juga berkata parti juga perlu mengadakan tinjauan pendapat daripada anggotanya sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan itu. - Astro Awani
melihat keadaan semasa maka cadangan parti tunngal memerintah negara amat sesuai.selama 50 tahun boleh bertahan tapi kena guna perlembagaan sepenuhnya dan ugama islam di martabat.presiden atau pm kena ada kuasa mutlak dan jangan ada satu kuasa lain yang menentu pm.berani kerana kuasa yang benar.tegak dengan izin allah bukan manusia.
ReplyDelete