Followers

SAYA PERCAYA NAJIB URUS DANA POLITIK DENGAN BAIK : TAJUDDIN


AMPANG:  Semua ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sedia maklum tentang wujudnya akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dana derma politik parti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata Najib selaku presiden parti telah diamanahkan dengan dana politik demi kelangsungan parti.

"Kita sudah memberi amanah kepada presiden parti untuk memegang amanah dana politik parti. Sebab parti perlu pembiayaan.

"Kita tahu bahawa ada tabung UMNO dan ada juga akaun ini iaitu akaun perbelanjaan operasi. Ada tabung yang dipegang atas nama pemimpin seperti presiden atau pengerusi perhubungan negeri.

Beliau menambah bahawa tiada ahli MT yang bertanyakan jumlah di dalam akaun tersebut atas dasar percaya terhadap pemimpin yang diamanahkan menjaganya.

"Kita ambil maklum tentang perkara itu. Kita tahu. Tetapi berapa banyak kita tak tanya. Kita percaya pada pemimpin kita," katanya.

Tajuddin berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan Wanita UMNO Ampang di sini hari ini.

Sebelum ini, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Tun Faisal Ismail Aziz berkata, wang di dalam akaun peribadi Najib merupakan hak dan rahsia peribadi Perdana Menteri itu sendiri.

Jelas Tun Faisal, ia juga tidak perlu diisytiharkan kepada orang ramai seperti wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik masing-masing.

Dalam pada itu kata Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, wang yang berada di dalam akaun Najib juga bukan untuk kegunaan peribadinya.

"Walaupun akaun itu untuk dana politik parti dan dinamakan di atas nama Najib, ia jelas bukan untuk kegunaan sendiri.

"Najib ialah pemegang amanah yang dibenarkan dalam perlembagaan parti. Dia adalah Perdana Menteri dan presiden parti ialah pemegang amanah. Tiada persoalan kenapa dimasukkan dalam akaun peribadi dia.

"Akaun peribadi itu ialah akaun amanah, bukan akaun peribadi untuk diri dia sendiri," ujarnya.

Pada Sabtu, Najib menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa derma politik yang diperolehnya bukan rasuah dan bukan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, SPRM akan meminta Najib memberikan penjelasan kepada agensi itu berhubung sumbangan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Menurut agensi berkenaan, SPRM sudah mendapatkan penjelasan daripada pihak penderma yang berasal dari Asia Barat dan pihak berkaitan juga sudah mengesahkan mengenai derma berkenaan. - ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment