Followers

E-ROKOK HARAM, KATA MAJLIS FATWA KEBANGSAAN


KUALA LUMPUR:  Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa e-rokok adalah dilarang di dalam Islam (haram), menurut pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin.

Beliau berkata, e-rokok dikategorikan sebagai berbahaya, membazir dan memudaratkan kesihatan, lapor Utusan Malaysia.

"Jadi dengan ketiga-tiga sebab itu, kita katakan ia adalah haram," Abd Shukor dipetik sebagai berkata pada sidang akhbar selepas program Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia Peringkat Negeri Perak 2015, semalam.

Katanya, fatwa tersebut diputuskan berdasarkan pendirian Majlis Fatwa terhadap penggunaan shisha.

"Kami telah berbincang mengenai rokok dan shisha dan kita boleh menyamakannya dengan vape. Kami telah membuat keputusan dan tidak ada masalah dalam hal ini, " katanya.

Beliau berkata pihaknya telah memutuskan untuk mengeluarkan fatwa itu walaupun Kementerian Kesihatan masih menunggu pakar-pakar untuk membuat keputusan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam minggu lalu berkata shisha dan e-rokok atau kaedah vaping harus dihentikan buat sementara waktu sehingga penemuan mengenai risiko diumumkan dalam masa dua bulan.

Beliau berkata kementeriannya sedang berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan kaedah ini terhadap kesihatan. - ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment