KAWASAN PENCARIAN ADALAH BETUL, MH370 AKAN DITEMUI : AUSTRALIA
SYDNEY: Pihak berkuasa Australia pada Khamis melahirkan keyakinan bahawa usaha pencarian MH370 sedang dijalankan di kawasan yang betul dan pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu akan ditemui.
Kenyataan itu dikeluarkan pihak berkuasa Australia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan pagi ini serpihan flaperon yang dijumpai di Pulau Reunion pada minggu lalu adalah dari pesawat berkenaan.
"Serpihan yang dijumpai adalah selaras dengan kerja-kerja pencarian yang sedang dilaksanakan justeru pihak kami yakin bahawa usaha mencari dilakukan di kawasan yang betul," ujar Martin Dolan, Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia kepada stesen radio ABC.
Namun beliau mengatakan adalah terlalu awal untuk menyimpulkan apakah sebenarnya yang terjadi kepada pesawat milik MAS itu.
Menurutnya pemeriksaan lanjut (terhadap flaperon) adalah penting bagi mengetahui sedikit sebanyak apa yang berlaku terhadap peristiwa kehilangan pesawat sejak 17 bulan lalu.
VIDEO: Sidang akhbar pengesahan serpihan pesawat di Pulau Reunion sah milik MH370
FOTO: Debaran sekitar pengumuman Perdana Menteri flaperon milik MH370
BACA: Serpihan di Pulau Reunion sah milik MH370. Apa yang telah diketahui
Australia mengambil alih usaha mencari MH370 yang hilang pada 8 Mac tahun lepas semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal.
Oerasi kapal pencarian sudah meliputi lebih 50,000 kilometer persegi (19,000 batu persegi) kawasan dasar Lautan Hindi Selatan. Pihak berkuasa merancang untuk meneruskan usaha mencari sehingga meliputi 120,000 kilometer persegi.
Serpihan flaperon itu dianggarkan oleh pihak berkuasa Australia telah dihanyutkan arus ke Pulau Reunion, sekitar 4,000 kilometer (2,500 batu) dari kawasan di mana penerbangan MH370 dipercayai berakhir.
"Terjumpanya serpihan flaperon di Pulau Reunion adalah selaras dengan kawasan carian yang ditentukan berdasarkan maklumat satelit. Pencarian akan diteruskan memandangkan dua buah kapal dilengkapi sonar sedang beroperasi di Lautan Hindi," tambah Dolan.
Meskipun masih tidak jelas sama ada analisis dari serpihan flaperon akan memberikan apa-apa petunjuk mengenai punca kehilangan pesawat namun pakar penerbangan Australia, Neil Hansford menyatakan pendapatnya tentang cara bagaimana pesawat itu memasuki air.
"Serpihan itu adalah sebahagian daripada bahagian enjin yang terpisah semasa penerbangan berakhir di lautan dan pesawat mencecah air," ujarnya.
Beliau menganggarkan sekurang-kurangnya ada sebuah lagi flaperon dari sayap yang lain sedang terapung di mana-mana.
"Sekurang-kurangnya kita boleh membuktikan bahawa MH370 sememangnya hilang di selatan Lautan Hindi dan membuktikan kawasan pencarian oleh pakar-pakar dari Australia adalah memadai (di kawasan yang bersesuaian)," katanya. - AFP
Comments
Post a Comment