Followers

APAPUN TINDAK-TANDUK PEMBANGKANG TIDAK MERISAUKAN BN : ABDUL RAHMAN


KOTA BELUD:  Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan yakin apapun tindak-tanduk parti pembangkang termasuk harapan penasihat DAP Lim Kit Siang agar wujud pakatan pembangkang baharu selepas pelancaran parti Gerakan Harapan Baharu (GHB), tidak akan memberi ancaman kepada BN.

Malah Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjangka GHB yang dikatakan akan dilancar pada 31 Ogos ini akan terkubur seperti parti-parti serpihan yang pernah wujud di negara ini, sebelum ini.

"Kita tidak akan terjejas dengan apapun tindakan parti pembangkang. Sama ada pembangkang mahu mengambil semangat Semangat 46 dahulu, Angkatan Perpaduan Ummah dan Pakatan Rakyat, tidak akan menyakitkan kepala kami dalam BN.

"Yang penting kepada BN ialah meneruskan tradisi berkhidmat kepada rakyat dan memastikan keselamatan dan kestabilan ekonomi dan perpaduan sebagai teras utama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas bencana di Pejabat Daerah Kota Belud di sini, Selasa.

Beliau berkata berdasarkan pengamatannya, GHB tidak akan mampu menarik anggota PAS dan UMNO untuk menyertai perjuangan mereka kerana anggota kedua-dua parti berkenaan sangat berdisiplin dan berprinsip sebaliknya sasaran keanggotaan GHB adalah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Jadi PAS tidak akan terjejas, UMNO juga tidak akan terjejas. InsyaAllah, GHB akan terkubur seperti mana harapan (parti-parti) lain sebelum ini."

Menyentuh kenyataan Kit Siang dalam sebuah portal berita yang meminta Ketua Polis Negara menahan beliau kerana menyebarkan berita palsu, Abdul Rahman berkata jika pembangkang boleh percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menukarkan penjawat awam bagi menyekat siasatan dalam pelbagai isu, maka mereka juga perlu percaya teori bahawa terdapat cubaan untuk mengaitkan Najib dengan jenayah.

Dalam temu bual Abdul Rahman dengan portal berita itu, beliau yang juga Anggota Parlimen Kota Belud berkata beliau tidak menyentuh sama ada kertas pertuduhan itu wujud seperti yang didakwa Kit Siang.

"Sama ada wjud kertas pertuduhan itu atau tidak, kami serahkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara untuk menyiasat dan menerangkannya. Saya tidak mempunyai maklumat mengenainya," kata beliau.

Abdul Rahman berkata mungkin usia Kit Siang menyebabkan pemimpin DAP itu tidak memahami maksud sebenar artikel berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment