KERAJAAN CADANG PORTAL BERITA WAJIB DIDAFTARKAN : SALLEH SAID


KUALA LUMPUR:  Kerajaan akan mencadangkan portal berita wajib didaftarkan sebagai memenuhi pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang bakal dibentangkan di parlimen pada Oktober.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata pihaknya sedang meneliti cadangan berkenaan termasuk melakukan kajian terperinci dengan mengambil contoh pelaksanaan di negara jiran seperti Singapura.

"Kami akan melihat kepada struktur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penggubalan bagi menangani isu seperti penyebaran bahan lucah, perjudian dalam talian dan ancaman militan IS," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama akhbar The Star.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di masa depan juga dijangka mempunyai keupayaan menyekat sebarang laman sosial yang berpotensi mengancam keselamatan serta kestabilan negara.

Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan penggunaan media sosial tidak akan disekat sepenuhnya selagi tidak melanggar undang-undang atau menerima sebarang laporan daripada pihak tertentu.

Sementara itu, Salleh turut menepis dakwaan pindaan undang-undang terbabit mempunyai kaitan dengan isu syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ia tiada kaitan dengan 1MDB kerana seperti kebanyakan negara, adalah suatu kebiasaan apabila sesuatu undang-undang itu dipinda bagi memastikan terus relevan. Undang-undang ini perlu ditambah baik memandangkan diperkenalkan sejak 1998," katanya.

SKMM setakat ini telah mengadakan pertemuan dengan lebih 250 pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas mereka berhubung dengan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pindaan tersebut jika diluluskan di parlimen bakal menyaksikan laman web seperti astroawani.com turut tidak terkecuali daripada peraturan mewajibkan pendaftaran dengan kementerian berkenaan. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts