Followers

BERSIH 4: HAK ASASI PERLU BERLANDASKAN UNDANG-UNDANG -MUSA


KUALA LUMPUR:  Peserta demonstrasi Bersih 4 yang mempertahankan tindakan berhimpun di atas faktor hak asasi perlu menyedari setiap perbuatan mereka tetap tertakluk kepada undang-undang.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, walaupun undang-undang memberi kebenaran untuk perhimpunan aman, namun perlu mengikut keputusan polis yang menjaga keamanan dan keselamatan negara.

"Kita ada peraturan dan undang undang. Walaupun perhimpunan aman dibenarkan, tetapi mereka yang terlibat perlu mengikut arahan selain menghormati tugas polis yang menjaga keselamatan semua pihak termasuk mereka yang berdemonstrasi.

"Namun Bersih 4 sudah diharamkan, jadi mereka sudah melanggar undang-undang jika berhimpun walaupun dari mereka dari segi hak asasi mereka mempunyai hak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Musa mengulas perhimpunan Bersih 4 yang dijadual berlangsung hari ini dan esok.

Sebelum ini Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata, peserta perhimpunan BERSIH 4 bakal berdepan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 sekiranya mereka tetap mahu berhimpun walaupun tidak mendapat kebenaran pemilik lokasi berhimpun.

Bagaimanapun menurut Tajuddin, orang ramai dibenarkan hadir di sekitar Dataran Merdeka bagi tujuan melihat perbarisan pada Hari Kebangsaan.

Dalam pada itu, kata Musa, polis boleh mengambil tindakan kepada peserta perhimpunan yang melanggar undang-undang.

"Jelas apabila undang-undang tidak dipatuhi, polis boleh bertindak," ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharamkan penggunaan warna kuning dengan disertai perkataan Bersih 4 serta sebarang penerbitan berkaitan perhimpunan yang diharamkan itu.

Arahan itu mengikut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No 22) 2015 dan mula berkuatkuasa pada Jumaat.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Peguam Muda Kebangsaan, Syahredzan Johan di dalam catatan di laman Facebooknya menyatakan, mereka yang ditahan polis kerana berpakaian kuning boleh mempertikaikan tindakan itu jika tiada tulisan Bersih 4 pada baju berkenaan. - ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment