Followers

TIADA TINDAKAN LANJUT TERHADAP PEGAWAI SPRM YANG DIAMBIL KETERANGAN -ZAHID


PUTRAJAYA, Tiada tindakan lanjut akan diambil ke atas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah diambil keterangan berhubung kebocoran maklumat siasatan di media sosial, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, ketika memberi jaminan itu berkata tindakan yang diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas pegawai SPRM adalah sekadar untuk mengambil keterangan.

"Saya jamin tidak ada penahanan akan dibuat oleh PDRM melainkan sekadar mengambil kenyataan daripada pegawai berkenaan. Saya jamin tiada tindakan lanjut akan berlaku.

"Kita tidak mahu sebelum ada kesimpulan hasil penyiasatan, maklumat ini telah dibocorkan oleh beberapa individu," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar Bangladesh Abul Hassan Mahmood Ali di sini Jumaat.

Ahmad Zahid berkata sekiranya terdapat pegawai SPRM yang akan ditahan pada masa akan datang ia adalah sebagai mematuhi prosedur siasatan oleh pihak polis.

Beliau berkata siasatan yang dijalankan berhubung kebocoran maklumat di media sosial juga tidak hanya memfokuskan kepada SPRM, sebaliknya turut melibatkan beberapa agensi lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata kebocoran maklumat yang sedang dalam siasatan di media sosial tidak seharusnya berlaku kerana ia tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Tentu kita mengesyaki ada agenda tersembunyi kenapa kebocoran itu dilakukan. Tiada mana-mana negara di dunia izinkan kebocoran berlaku," katanya.

Diminta mengulas kenyataan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahari Mohammad Zin mengenai 'tangan ajaib' yang mengarahkan PDRM bertindak ke atas SPRM, Zahid berkata: "Ia bukan kenyataan rasmi SPRM, tapi individu berkenaan memperlihatkan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku."

Setakat ini, tujuh pegawai SPRM telah memberi keterangan berkaitan kes kebocoran maklumat kepada polis Bukit Aman.

SPRM terlibat dalam siasatan berkaitan SRC International dan kemasukan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Zahid berkata hubungan baik antara PDRM dengan SPRM harus dikekalkan untuk membantu meningkatkan kebolehpercayaan, kewibawaan dan kredibitili semua pihak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment