Followers

PNMB BAKAL DISWASTAKAN : ZAHID


PUTRAJAYA:  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata Percetakan Nasional Malaysia Bhd (PNMB), sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, bakal diswastakan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ketika ini pihaknya menyerahkan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk menilai beberapa tawaran yang diterima berhubung penswastaan agensi itu.

"Sebuah agensi bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mungkin tidak lagi berada di bawah naungan dan payungan KDN iaitu PNMB. Kita serahkan kepada UKAS untuk meneliti dan mengemukakan kepada jemaah menteri untuk buat keputusan sebelum prosedur yang lain termasuk urusan tandatangan perjanjian," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KDN di sini.

Ini merupakan perhimpunan bulanan pertama KDN yang dihadirinya selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada rombakan Kabinet 28 Julai lepas.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata walaupun akan kehilangan satu lagi agensi selepas Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), KDN tidak dapat lari bahawa aspek keselamatan rakyat serta negara ini terletak di bawah tanggungjawab kementerian berkenaan.

"Jabatan dan agensi bawah KDN boleh terus berganding bahu untuk melaksanakan harapan rakyat. Berapa pun yang kita tinggal, sama ada rakyat, baik penduduk tetap atau pemegang pas residen, pelancong atau pakar dari luar, keselamatan mereka bawah tanggungjawab kita," katanya.

Pada 29 Julai lepas, Ahmad Zahid mengumumkam bahawa JPAM diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM) kendalian Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Menurut Ahmad Zahid, pengasingan tugas JPAM itu memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memberi tumpuan kepada soal pengurusan bencana.

Dalam pada itu, beliau turut 'mencabar' pegawai serta kakitangan kementerian itu supaya terus berusaha meningkatkan prestasi sebagai usaha untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 108 peratus sebagai mana ditetapkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Beliau juga mahu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar mengukuhkan kerjasama selaras dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan terutama dalam memerangi penyalahgunaan dadah.

"Kalau kita lihat 48.13 peratus banduan adalah mereka yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah...ini bukan sahaja tanggungjawab AADK tapi satu daripada teras utama kementerian iaitu untuk menangani isu ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment