Followers

KETEPIKAN PERBEZAAM DAN BERSATU SEMPENA HARI KEBANGSAAN : SALLEH


KUALA LUMPUR:  Rakyat Malaysia harus mengetepikan perbezaan fahaman politik dan ideologi dan terus bersatu sempena meraikan Hari Kebangsaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menurut beliau perasaan bahawa 'tanah air adalah segala-galanya' perlu disemat dalam jiwa rakyat Malaysia sebagai bukti rasa cinta kepada negara.

"Saya berharap sungguh bagi pihak yang merasakan mereka mempunyai perbezaan dengan kita, kita ketepikan. Biar kita bersatu demi negara kita.

"Kita meraikan Hari Kebangsaan dan kita tunjukkan bahawa jika kita bersatu padu, jika kita dapat tentukan bahawa tanah air adalah segala-galanya, kita boleh maju ke hadapan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka di sini, Sabtu.

Hari Kebangsaan 2015 disambut pada 31 Ogos ini di seluruh negara dan sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Dataran Merdeka dengan tema pada tahun ini 'Sehati Sejiwa.'

Lebih 10,000 peserta dari agensi kerajaan, swasta, anggota pasukan keselamatan serta pelajar sekolah akan menyertai acara persembahan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas melawat pusat media Hari Kebangsaan, Salleh berkata beliau berpuas hati dengan raptai penuh acara itu.

"Perbarisan dan persembahan yang diadakan jelas mempamerkan Malaysia yang sebenar, yang terdiri daripada pelbagai kaum daripada wilayah yang berbeza. Malah ia turut melibatkan ramai anak muda yang cintakan negara dan perpaduan," katanya.

Mengenai perhimpunan haram Bersih 4 di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya, Salleh berharap ia tidak mengganggu persiapan sambutan Hari Kebangsaan.

"Mereka sepatutnya cari tempat yang sesuai dan jangan mengganggu Hari Kebangsaan. Tetapi kali ini mereka pilih tarikh hampir sama dengan Hari Kebangsaan. Jadi kita tutup laluan-laluan tertentu untuk menjaga keselamatan peserta Hari Kebangsaan," katanya.

Menurutnya tindakan mengadakan perhimpunan haram itu akan mengganggu aktiviti hujung minggu masyarakat dan pelancong asing, selain bakal menjejaskan operasi perniagaan di kawasan sekitar. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment