Followers

GULING KERAJAAN : AHLI PARLIMEN BN NAFI TERLIBAT, DIGESA BUAY DEKLARASI TERBUKA

KUALA LUMPUR:  Beberapa ahli Parlimen yang dikaitkan dengan komplot menggulingkan kerajaan membabitkan 20 pemimpin BN seperti dalam senarai yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp pada Isnin tampil membuat penafian.

Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin semalam melahirkan rasa kesal dengan tuduhan yang mengaitkan beliau antara pemimpin UMNO yang didakwa terbabit dalam gerakan untuk menggulingkan kerajaan.

Turut menafikan terbabit di dalam komplot itu adalah anggota Parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri yang menafikan sekeras-sekerasnya laporan media sosial yang mengaitkan nama beliau dengan 19 anggota Parlimen lain yang dikatakan berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan.

Perkara yang sama turut dinafikan ahli parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad .

Sehubungan dengan itu, satu laporan polis dibuat beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Alam, Pasir Gudang, pada Isnin petang.

Normala berkata beliau mendapat tahu namanya tersenarai dalam 20 orang yang mahu menggulingkan kerajaan pada jam 6.30 pagi Isnin.

Turut sama menafikan dakwaan pembabitan dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Langkah sama turut diambil Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman yang dipetik daripada portal BNBBC sebagai amat terkejut dengan dakwaan tersebut yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Berikutan perkembangan terbaharu ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meminta semua ahli parlimen Barisan Nasional (BN) supaya membuat deklarasi terbuka bagi menunjukkan kesetiaan mereka kepada parti.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata, tindakan itu bertujuan untuk menghentikan semua spekulasi dan masalah berbangkit.

Sambil merujuk kepada isu komplot pihak tertentu untuk menggulingkan kerajaan sedia ada yang termasuk daripada parti UMNO, Azalina menegaskan, perkara itu perlu diberikan perhatian serius.

"Justeru itu, saya berharap Jawatankuasa Disiplin parti-parti BN akan menyiasat perkara ini secara terperinci dengan kadar segera.

"Sekiranya benar dakwaan tersebut maka tindakan keras mesti diambil kerana kita tidak boleh berkompromi dalam soal sabotaj dan derhaka yang juga bertentangan dengan prinsip demokrasi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Azalina berkata, beliau ingin mencadangkan supaya kerajaan menggubal Undang-Undang Anti Lompat parti.

"Maka saya juga berpendapat sudah tiba masanya kerajaan menggubal Undang-Undang Anti Lompat Parti (Anti-Hopping Laws) kerana perkara ini bukan hanya soal kesetiaan kepada parti dan integriti dalam politik tetapi adalah soal pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang kita tidak boleh bertolak ansur sama sekali.

"Ini termasuk melakukan pindaan tertentu kepada kebebasan berpersatuan yang termaktub dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan supaya tiada percanggahan dengan undang-undang baharu ini nanti," ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi pada Sabtu mendedahkan ada 'tokoh tertentu' daripada kalangan parti pemerintah yang ingin menggulingkan kerajaan.

Ahmad Zahid turut mendedahkan kewujudan komplot untuk menarik 37 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai 87 pembangkang serta seorang anggota Parlimen Bebas.

Beliau berkata ini bertujuan untuk membolehkan usul undi tidak percaya dikemukakan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2016 pada Oktober ini. - ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment