ADAKAN PERHIMPUNAN BERSIH 4.0 DI LOKASI LEBIH SESUAI : KPN


KUALA LUMPUR:  Perhimpunan BERSIH 4.0 yang mensasarkan kehadiran 100,000 peserta lebih sesuai diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Katanya, Dataran Merdeka dan Padang Merbok tidak sesuai dijadikan lokasi perhimpunan memandangkan ia sedang disiapkan untuk sambutan Hari Merdeka.

"Saban tahun kita menyambut Merdeka di situ, kenapa nak beria-ria nak buat di situ pada 29 dan 30 Ogos?

"Tak ada tempat lain, nak di situ juga. Macam Malaysia ini tak ada tempat lain.

"Stadium besar, khabarnya 100,000 (orang) akan datang, jadi Stadium Bukit Jalil yang paling baik untuk menempatkan 100,000 orang.

"Takkan hendak letak 100,000 orang dekat Dataran Merdeka itu?" kata Khalid dalam satu sidang media di Bukit Aman.

Sementara itu penganjur Perhimpunan BERSIH 4.0, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dalam reaksinya kepada kenyataan Ketua Polis Negara yang mengatakan perhimpunan BERSIH 4.0 'mementingkan diri sendiri' dan tidak mengambil kira hak peniaga dan orang ramai, menganggap kenyataan itu sebagai tidak wajar.

Gabungan itu memberikan contoh penganjuran KL City GP pada 7 hingga 9 Ogos lalu yang menyebabkan jalan jalan utama di ibu kota ditutup selama tiga hari berturut-turut, namun tetap diberikan kebenaran untuk dianjurkan.

"BERSIH 2.0 tidak pula mendengar sebarang bantahan daripada Ketua Polis Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, persatuan peniaga, individu mahupun mereka yang tinggal di sekitar kawasan terbabit berkenaan kesan daripada penutupan jalan terbabit.

"Adakah kepentingan korporat lebih utama berbanding kepentingan rakyat dan negara?" katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Acara lumba kereta itu telah mengakibatkan penutupan jalan utama termasuk Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee.

BERSIH 2.0 juga berkata bahawa perhimpunan BERSIH telah pernah berlangsung tiga kali sebelum ini, dan kesan perhimpunan tersebut terhadap ekonomi setempat adalah bukan sahaja minimal malah memberi keuntungan kepada pengusaha hotel, peniaga kecil, pengusaha restoran dan juga pengangkutan awam.

Justeru andaian yang dibuat oleh Ketua Polis Negara itu dianggap tidak tepat dan gabungan itu menolak dakwaan ia mementingkan diri, tambah lagi perhimpunan dikatakan bertujuan untuk mendesak penambahbaikan ke arah sebuah kerajaan dan sistem pilihanraya yang lebih adil. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts