ISU DANA, 1MDB: KERAJAA AKAN BUAT PENJELASAN KEPADA AKAR UMBI - ZAHID


TANAH MERAH:  Kerajaan akan membuat penjelasan berhubung dana RM2.6 bilion dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada semua peringkat akar umbi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan penerangan itu akan dibuat bersama rakan politik yang memahami perkara itu dengan jelas.

"Saya sendiri akan turun padang menjelaskan perkara ini menggunakan bahasa mudah supaya semua dapat memahami dengan baik sekali gus dapat menyelesaikan perkara itu. Ini kerana saya sendiri melihat dokumen yang menjadi sumber kepada sumbangan dana politik berkenaan," katanya yang ditemui selepas merasmikan majlis sambutan Aidilfitri dan Mesyuarat UMNO Bahagian Tanah Merah, pada Sabtu.

Naib Presiden UMNO itu berkata, langkah itu bagi memastikan setiap anggota parti tidak terpengaruh dengan berita-berita yang tidak betul yang disalurkan melalui media sosial.

Beliau turut mendakwa terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang akan cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan fitnah di laman sosial.

Katanya, jika dulu fitnah politik berlaku melalui surat layang dan penerbitan buku-buku tetapi kini trend sudah  berubah di mana fitnah disebarkan secara 'online' dalam waktu yang singkat.

Jelas Ahmad Zahid, oleh kerana agenda yang sudah dirancang segelintir pihak tidak bertanggungjawab itu, fitnah yang disebarkan melalui laman sosial sukar dibendung kerana tiada pembentengan yang kukuh oleh UMNO sendiri. - ASTRO AWANI

Sumber gambar: Sahabat team DSAZH

Comments

Popular Posts