PENYOKONG PEMIMPIN UMNO DIGUGUR DIMINTA UTAMAKAN PARTI DAN BUKAN BEREMOSI
KUANTAN: Penyokong pemimpin UMNO yang digugurkan daripada barisan kabinet pada Selasa lepas diminta menghormati keputusan yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.
Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Pahang Datuk Dr Abdul Halim Mansor berkata keputusan merombak kabinet sudah pasti dilakukan secara berhemah, dan bukannya suatu yang boleh difikirkan secara 'ad hoc'.
"Perdana Menteri tentu telah memikirkan baik buruk rombakan yang dilakukan kerana perkara itu melibatkan isu pentadbiran negara. Dalam masa yang sama pemimpin yang digugurkan ini, sudah pasti ada penyokong tersendiri.
Namun penyokong ini, jika terguris dengan keputusan pemimpin mereka digugurkan, kena tenang dan jangan emosi. Fikir secara berhemah dan utamakan survival parti. Parti yang harus diutamakan," katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pelbagai status yang dimuat naik di laman sosial yang menyerang kepimpinan perdana menteri sejurus beliau mengumumkan pengguguran Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada kabinet.
Abdul Halim juga berpandangan 'cakap-cakap' yang timbul selepas rombakan kabinet itu adalah rentetan daripada beberapa isu di Malaysia yang sedang hangat diperkatakan, termasuk yang mengaitkan nama perdana menteri.
Bagaimanapun, beliau berpendapat adalah wajar untuk semua pihak bersabar dan menunggu sehingga isu itu disiasat dan diselesaikan mengikut cara yang betul, dan bukannya mempercayai apa yang tersebar di media, termasuk laman media sosial.
Mengulas mengenai perlantikan empat muka baharu dalam barisan kabinet yang diumumkan Najib pada Selasa lalu, Abdul Halim menyifatkan perkata itu sebagai biasa dan asam garam politik menggantikan yang baharu.
"Jika tidak diberi peluang kepada muka baharu, bagaimana mereka mahu 'matang'? Dalam politik, yang lama tidak semestinya pergi kerana mereka tidak baik, tetapi kerana mereka ini memberi peluang kepada yang baharu untuk belajar.
Yang baharu sudah pasti lebih bertenaga, bersedia untuk belajar dan berkhidmat serta akan melakukan sehabis baik kerana mereka tahu mereka kini berada di bawah pemerhatian," katanya.
Bagi bekas Yang Dipertua Mubarak Pahang pula, Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim berkata barisan kabinet baharu yang diumum Najib kini menggalas tanggungjawab berat untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mereka boleh bekerja dan bertanggungjawab ke atas jawatan yang telah diamanahkan.
"Jangan mula-mula sahaja berjanji itu ini kepada rakyat, kemudian senyap. Kita juga berharap anggota kabinet yang baharu tidak mendabik dada.
Jangan lupakan jasa pihak yang lama. Mana yang baik jadikan teladan, mana yang tidak, elok diperbetulkan," katanya.
Abdul Jabbar berkata sebagai pemimpin mereka juga perlu menerima teguran yang disuarakan oleh mana-mana pihak khususnya rakyat dengan hati yang terbuka demi kebaikan semua pihak.
"Kepada pemimpin-pemimpin, kritikan kena dengar walau dari peringkat akar umbi sebab kuasa memilih terletak di tangan rakyat. Tidak guna pengundi ada berjuta-juta tetapi tidak ikhlas memperjuangkan hak rakyat," katanya. -BERNAMA
Comments
Post a Comment