AHMAD ZAHID AKAN PANTAU PRESTASI 6 MENTERI PENUH DARI PERAK
IPOH. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan memantau prestasi enam menteri penuh yang berasal dari Perak dan komitmen mereka untuk membangunkan negeri ini semasa mereka memegang jawatan berkenaan.
Beliau berkata adalah tidak munasabah jika mereka yang dilantik menganggotai pentadbiran di peringkat nasional gagal membawa pembangunan ke negeri ini untuk menjadikan Perak antara negeri termaju di Malaysia.
"Jangan pernah ambil kesempatan untuk diri sendiri tetapi ambillah mana yang sempat untuk membawa pembangunan ke Perak," katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Timbalan Perdana Menteri di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini Rabu malam.
Meskipun baharu dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata beliau akan tetap memantau sejauh mana Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainudin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mampu berbuat demikian.
"Saya tidak ada kuasa tapi saya perhatikan kalau ada maklum balas daripada tuan-tuan dan puan-puan, kalau ada yang tidak membawa pembangunan bagi tahu saya," kata beliau.
"Saya dah berjanji kepada diri saya dan Sultan Perak bahawa titah Tuanku untuk melihat anak Perak di peringkat nasional mesti bantu negeri asal dari segi pembangunan menjadi realiti," katanya.
Beliau juga berkata walau setinggi manapun kedudukan seseorang itu, kepentingan mencari ilmu tidak harus dipinggirkan terutama dalam kalangan pemimpin agar sentiasa berada di garisan hadapan dan tidak mudah dipermainkan atau ditipu, terutama di dalam media sosial.
Ahmad Zahid juga berkata tabiat suka menyalahkan orang lain juga perlu dihentikan dan setiap orang sepatutnya mengambil pendekatan membetulkan diri sendiri terlebih dahulu.
"Apa yang patut ada pada kita bukan sahaja istiqamah tapi juga tawaduk," katanya sambil menambah apa sahaja yang berlaku pasti ada sebabnya.
-- BERNAMA
Comments
Post a Comment