'TIDAK ADA PIHAK BOLEH HALANG USAHA PENYATUAN DUA PARTI': HISHAMUDDIN


KUALA LUMPUR:  Tidak ada pihak yang boleh menghalang sebarang usaha penyatuan yang hendak dilakukan di antara mana-mana parti politik di negara ini.


Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, paling penting usaha itu disusuli niat untuk bersatu padu selain mahu mengelakkan perpecahan yang merugikan.
"Kalau kesatuan bersama gabungan-gabungan politik itu menjurus kepada perpaduan, kepada kesatuan, kepada masa depan negara kita, saya rasa tidak ada sesiapa yang boleh menidakkan usaha kita.

"Dalam politik tidak semestinya kita menjurus kepada perpecahan, dalam politik pun ada had dan batasan. Kita kena lihat ke hadapan. Jangan macam kita marahkan nyamuk, kelambu dibakar," katanya.

Hishammuddin berkata demikian semasa sidang media selepas larian amal 'Malaysian United Run' di sini hari ini.

Larian yang dianjurkan Institut Onn Jaafar (IOJ) itu turut dicatat di dalam "Malaysian Book of Records" kerana penyertaan peserta terbanyak iaitu seramai 17,620 pelajar universiti dan kolej dari seluruh negara.

Selain itu, larian itu menjadikan slogan 'Let's Light Up Our Children's Future' sebagai tema dan memberi tumpuan kepada lima rumah kebajikan iaitu Rumah Solehah, Yayasan Chow Kit, Bahagian Pembangunan Modal Insan Orang Asli, The Pure Life Society dan Good Samaritan Home.

Sumbangan berjumlah RM100,000 akan diagihkan kepada lima buah rumah kebajikan tersebut.

Pada Sabtu, Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) dipelopori beberapa bekas pemimpin PAS secara tidak langsung telah mewujudkan peluang kepada UMNO untuk mencari titik persefahaman dengan PAS.

Jelasnya, tindakan pemimpin parti Islam 'melompat' ke Amanah merupakan peluang kepada UMNO untuk menghidupkan semula usaha mencari titik persefahaman dengan PAS.

Ia susulan saranan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mencadangkan penubuhan Majlis Ukhuwah Islamiah Negara (MUIN) yang dianggotai ahli UMNO dan PAS.

Kata Ibrahim, selain disertai dua parti politik Melayu berkenaan, MUIN juga perlu dianggotai pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO) lain yang memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam.

Dalam perkembangan berasingan, Hishammuddin berharap perdebatan terbuka berhubung isu syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di antara Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan anggota Parlimen DAP-Petaling Jaya Utara Tony Pua memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya harap ada manfaat, memberi penjelasan. Jika tidak, tidak perlu dibuat.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga sudah memberi janji isu itu akan diselesaikan sebelum hujung tahun ini," jelasnya.

Pada Sabtu, Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed meminta perdebatan terbuka berhubung isu pelaburan 1MDB dihentikan sebagai mengelak kredibiliti dan integriti jawatankuasa itu terus dipersoalkan mana-mana pihak.

Nur Jazlan turut menyarankan Arul serta Pua supaya segera menghentikan perbuatan 'kebudak-budakan' itu. -ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts