HUBUNGAN KUKUH ASEAN-CHINA PENTING BAGI KEAMANAN SERANTAU: AHMAD ZAHID
LONDON: Malaysia berpendapat hubungan ASEAN dan China yang kukuh adalah penting bagi keamanan dan kemakmuran serantau di Asia Tenggara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan negara-negara anggota ASEAN perlu melipatgandakan usaha mengambil langkah-langkah membina keyakinan dan strategi menangani konflik bagi mengelak sebarang konflik tidak sengaja di Laut China Selatan yang sangat sesak.
"Apa yang kita saksikan hari ini, dalam beberapa cara, adalah usaha untuk mengimbangkan semula keseimbangan global. Jika kita imbas kembali 500 tahun ke abad ke-16, Asia bukan sahaja mewakili majoriti penduduk dunia seperti hari ini tetapi turut menyumbang kepada hampir 50 peratus daripada perdagangan dunia.
"Kemunculan semula situasi seperti itu perlu melibatkan langkah-langkah bagi memikirkan semula dasar dan amalan semasa," katanya semasa menyampaikan ucap tama pada Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia (WCES) Ke-7 di sini, Rabu.
Sidang kemuncak itu dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) dan Asia House.
Dalam ucaptama bertemakan 'Memperkukuh Hubungan China-ASEAN: Ke Arah Perkongsian Kemakmuran', Ahmad Zahid berkata komuniti serantau tidak lagi boleh bertindak mementing diri secara unilateral atau mengekalkan minda perang dingin 'kita menentang mereka' dalam pembabitan mereka di peringkat antarabangsa.
"Kerjasama penting jika mahu mengelakkan konflik. Keterbukaan dan ketelusan dalam urusan sesama kita juga akan menjadi penting," kata Ahmad Zahid, yang kini di hari terakhir lawatan empat hari beliau ke United Kingdom.
Katanya Malaysia, seperti negara-negara lain ASEAN, mempunyai peranan penting sebagai pintu masuk yang mengimbangi aliran perdagangan global dengan China, seperti digambarkan di bawah inisiatif 'One Belt One Road' China.
"Sebagai Pengerusi ASEAN dan Sidang Kemuncak China-ASEAN akhir bulan ini, saya yakin Malaysia akan berjaya mengemudi ASEAN dan meningkatkan hubungan dua hala dengan China, serta memberi tumpuan kepada integrasi ekonomi dan memupuk properusahaan, sentimen mesra pelabur kepada jiran-jiran kita," kata beliau.
Timbalan perdana menteri juga berkata sebagai anggota pasukan global, nyata sekali usaha Malaysia menjalinkan kerjasama antarabangsa tidak hanya melibatkan China atau rakan-rakan lain ASEAN.
"Ketika kita bergerak menuju kepada Perkongsian Trans Pasifik, kita bakal menyaksikan Komuniti Ekonomi ASEAN menjadi kenyataan, blok perdagangan bebas yang Malaysia dan rakan negara anggota mahu gunakan untuk mendekati rakan-rakan di Barat dan Timur," katanya.- BERNAMA
Comments
Post a Comment