SATU MATA WANG UNTUK NEGARA-NEGARA ISLAM TIDAK RELEVAN: PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pendekatan satu mata wang untuk negara-negara Islam tidak sesuai dilaksanakan buat masa sekarang.
Sebaliknya jelas beliau, negara-negara Islam perlu menumpukan kepada usaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan demi pembangunan ekonomi masing-masing.
"Saya tidak fikir satu mata wang sesuai dilaksanakan di kalangan negara-negara Islam. Saya tidak fikir kita juga harus cuba untuk pergi ke jalan itu (satu mata wang).
Seperti yang anda tahu, Kesatuan Eropah (EU) mengalami kesukaran selepas melaksanakannya. Jadi , satu mata wang bukan pilihan yang sesuai tetapi apa yang kita perlu dilakukan adalah meningkatkan perdagangan antara negara-negara Islam," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Forum Ekonomi Islam Sedunia, MIEF ke-11 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Najib yang juga Penaung Yayasan MIEF berkata, kaedah satu mata wang dilihat bukan penyelesaian berkesan ke arah menyatukan kerjasama ekonomi antara negara Islam.
"Skop luas yang perlu dimanfaatkan semua negara-negara Islam ialah meningkatkan perdagangan, pelaburan, dan hubungan perniagaan ekonomi Islam," katanya lagi.
Bagaimanapun setakat ini, rundingan sedang dilakukan bagi membincangkan penyertaan negara Islam dalam Bank Islam Mega.
Tambahnya, perkara itu belum dimuktamadkan kerana banyak cabaran perlu dilalui sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Ada usaha dan perbincangan untuk menubuhkan Bank Islam Mega. Namun, ia belum diputuskan lagi. Ada beberapa cabaran untuk menyaksikan penyertaan negara Islam. Ia termasuk cabaran yang sangat serius yang timbul bagi merealisasikan perkara itu," ujar beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara 10 pemain industri terbabit.
Ia termasuk MOU antara Perbadanan Pembangunan Industri Halal dan Johor Biotech Park, serta MOU antara Medina Iskandar Malaysia Berhad dan Telekom Malaysia.- ASTRO AWANI
Comments
Post a Comment