MALAYSIA KAJI PENGALAMAN UK TANGANI KEGIATAN PEMERDAGANGAN MANUSIA


MANCHESTER:  Malaysia akan mengkaji pengalaman United Kingdom (UK) menangani aktiviti pemerdagangan manusia dari segi pendekatan dan langkah-langkah pencegahan melalui undang-undang lebih ketat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Beliau berkata ini termasuk melihat sama ada Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) yang sedang dikuatkuasakan di Malaysia perlu diperketatkan supaya menjadi lebih berkesan.

'Di UK undang-undangnya ada peruntukan hukuman penjara seumur hidup sedangkan di Malaysia hukuman maksimum hanya 10 tahun penjara sahaja. Ini menjadikan Malaysia seolah-olah masih boleh bertoleransi terhadap kegiatan itu berbanding UK,' katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan malam bersama-sama diaspora Malaysia di sini pada Isnin malam.

Pada sebelah petang, Ahmad Zahid yang sedang dalam rangka lawatan empat hari ke UK, bersama-sama delegasi rombongan Malaysia mendengar taklimat dan mengadakan perbincangan dengan pihak UK di London mengenai Perhambaan Zaman Moden atau lebih dikenali dengan istilah pemerdagangan manusia di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata antara lainnya Malaysia akan melihat kesesuaian tentang keperluan bagi meminda undang-undang ATIPSOM, bukannya mengikut acuan UK tetapi lebih kepada pengalaman negara itu mengurangkan kemasukan  pihak yang menjadi mangsa perhambaan zaman moden apabila undang-undang berkaitan diperketatkan.

Ahmad Zahid berkata dalam taklimat pada sebelah petang itu, rombongan Malaysia dimaklumkan tentang pendekatan digunakan kerajaan UK untuk mengawal dan mengurangkan kegiatan pemerdagangan manusia untuk dijadikan buruh paksa atau hamba seks, dengan turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam soal pemulihan.

'Di UK mereka mengadakan jalinan dengan pihak NGO untuk memberi keselesaan kepada mangsa-mangsa berkenaan yang menjalani proses pemulihan.

'Kami juga dimaklumkan tentang bagaimana pencegahan dilakukan bagi menyekat mangsa-mangsa ini daripada masuk ke UK.  Antara lain mereka menjalinkan kerjasama dengan pejabat kedutaan dan pejabat konsulat supaya mereka yang bakal masuk itu dapat disekat lebih awal," katanya.

Satu lagi pendekatan di UK, katanya ialah pengunaan pakar psikologi serta beberapa pihak dari negara asal mangsa  bagi membantu mengatasi masalah trauma yang dialami mangsa.

'Elemen-elemen ini belum dapat dilaksanakan di Malaysia kerana mangsa tidak datang untuk mengadu kecuali jika ada  laporan kepada pihak berkuasa di Malaysia,' katanya.

Sementara itu, pada jamuan malam diaspora Malaysia, Ahmad Zahid mengingatkan rakyat Malaysia di luar negara supaya  sentiasa besyukur dengan peluang mereka dapat melanjutkan pelajaran di luar negara dan sentiasa menjaga nama baik  negara.

Mereka juga diminta supaya rasional dalam analisis terhadap maklumat yang diterima mengenai perkembangan yang berlaku  di Malaysia, khususnya daripada media alternatif dan media sosial kerana kebanyakan maklumat itu bersifat separuh benar dan tidak berasaskan kepada etika kewartawanan.

Analisis mereka hendaklah berdasarkan minda dan bukan berdasarkan perasaan, katanya.

Hampir 200 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di UK menghadiri jamuan malam itu.- BERNAMA

Comments

Popular Posts