MALAYSIA-AMERIKA SETUJU TUBUH PUSAT SERANTAU PINTAS MESEJ DI MALAYSIA


KUALA LUMPUR:  Malaysia dan Amerika Syarikat bersetuju menjadikan Malaysia sebagai Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi (RDG3) bagi memerangi ekstremisme melampau di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kedua-dua negara itu mempunyai pendirian sama dalam memerangi ekstremisme melampau dan bersetuju bekerjasama rapat dalam menjadikan rantau ini lebih selamat.

Beliau sebelum itu mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Barack Obama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi.

Najib menegaskan bahawa rantau ini tidak terkecuali daripada ancamam keganasan melampau kerana terdapat kumpulan-kumpulan yang beroperasi di rantau ini serta menjadi sekutu kumpulan militan IS.

"Oleh itu kita akan bekerjasama rapat dengan Amerika dan negara-negara yang berpendirian sama dengan kita bagi menjadikan rantau ini lebih selamat dan menentang sebarang bentuk ekstremisme melampau," katanya pada sidang media bersama presiden Amerika Syarikat itu selepas pertemuan selama 45 minit itu.

Najib berkata inisiatif penubuhan pusat memintas mesej itu adalah penting kerana memerangi ekstremisme melampau bukan sahaja memerlukan kekuatan ketenteraan malah perlu memikat hati dan minda rakyat.

"Sebab itu adalah penting bagi kita untuk mematahkan dakyah kumpulan militan serta menyampaikan ajaran Islam yang sebenar supaya masyarakat akan sedar apa yang IS cuba melakukan untuk memesong ajaran Islam," katanya.

Najib berkata Malaysia komited untuk meneruskan usaha-usaha bagi mempaparkan ajaran Islam yang sebenarnya.

Sementara itu, dalam sidang media tersebut, Obama mengiktiraf suara Malaysia sebagai kritikal dalam perdebatan mengenai keganasan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia dan Indonesia, sebagai negara majoriti penduduk Islam melambangkan toleransi dan keamanan.

Obama turut mengalu-alukan kesediaan Malaysia untuk menghoskan pusat serantau itu dengan menggunakan semua peralatan serta melibatkan cendekiawan dan ulama bagi menyekat penyebaran ideologi keganasan melampau.

"Kami tidak sabar untuk bekerja dengan mereka (Malaysia) mengenai penubuhan pusat ini," katanya.

Dalam mesyuarat tersebut, kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan isu pertikaian di Laut China Selatan.

Najib berkata beliau telah menjelaskan kepada Obama mengenai pendirian Malaysia yang konsisten dengan kedaulatan undang-undang mengenai isu Laut China Selatan.

Dalam menyatakan harapan bahwa ketegangan di perairan itu tidak akan meningkat, Najib juga berharap mereka akan dapat mencari penyelesaian yang dirundingkan selaras dengan prinsip utama undang-undang antarabangsa.

Obama sementara itu berkata walaupun Amerika Syarikat bukan salah satu daripada pihak-pihak yang membuat tuntutan dalam pertikaian itu namun ia percaya peraturan undang-undang perlu diaplikasikan apabila menangani isu-isu tersebut.

Negara anggota ASEAN yang terlibat dalam tuntutan bertindih di kepulauan Laut China Selatan adalah Filipina, Vietnam, Brunei dan Malaysia manakala negara luar rantau ini ialah Taiwan dan China.

Pada 2002, China dan negara-negara anggota ASEAN memeterai deklarasi mengenai Kod Tatalaku (CoC) di perairan Laut China Selatan yang memperakui penyelesaian secara aman menerusi rundingan secara mesra oleh negara-negara berdaulat yang terlibat.

Najib berkata dalam pertemuan itu, beliau telah menjelaskan perkembangan semasa mengenai situasi di Malaysia dan presiden Amerika Syarikat itu turut menyatakan pandangan tertentu.

"Kami mengambil kira beberapa pandangan dan kebimbangan beliau (Obama)," katanya sambil menambah Malaysia komited untuk melakukan pembaharuan bagi memastikan keamanan dan kestabilan negara.

Najib dan Obama turut membincangkan isu perubahan iklim dan kedua-dua pemimpin bersetuju supaya "satu penjanjian dapat diperoleh di Paris."

Paris akan menjadi tuan rumah Persidangan Perubahan Iklim dari 30 Nov hingga 11 Dis ini.

Ini merupakan lawatan kedua Obama ke Malaysia selepas lawatan pertama pada April tahun lepas.
"Bagi rakyat Malaysia...adalah baik untuk kembali semula," kata Obama.

Obama akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat Ketiga serta Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10, hujung minggu ini.

Tidak sabar untuk mengambil bahagian dalam sidang kemuncak berkaitan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 di sini, Obama berkata Sidang Kemuncak Asia Timur menjadi salah satu mekanisme perdana bagi negara-negara untuk menyelaras pelbagai bentuk isu-isu.- BERNAMA

Comments

Popular Posts