MALAYSIA TIDAK ALAMI KRISIS EKONOMI: NAJIB


KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan Malaysia kini berdepan krisis ekonomi, seperti yang dibimbangi rakyat.


Sebaliknya Najib menegaskan Malaysia berjaya menghadapi pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, hasil daripada reformasi ekonomi yang dilaksanakan pentadbirannya sejak lima tahun lalu.
"Defisit fiskal Malaysia secara konsisten berkurangan dari tahun ke tahun sejak Program Transformasi Ekonomi (ETP) dilancarkan pada 2010.

"Situasi ekonomi berkemungkinan lebih buruk sekiranya reformasi baru bermula," tegas beliau memetik laporan The Star hari ini.

Najib juga menegaskan asas ekonomi negara adalah lebih kukuh, berbanding ketika krisis kewangan Asia pada 1997.

"Kami telah belajar daripada episod krisis tersebut. Apabila ETP dilaksanakan, defisit fiskal berada pada paras 6.4%, tetapi menjelang hujung tahun ini, defisit diunjur pada 3.2%," jelas beliau.

Beliau mengakui, biarpun tidak popular dan menyakitkan, rakyat akan sedar, reformasi yang diperkenalkan sebelum ini, memberi lebih kebebasan kepada Malaysia untuk berdepan segala ketidaktentuan.

"Bayangkan jika defisit hari ini ialah pada 6.4%, pilihan dasar kita akan menjadi terhad dan kita akan berada dalam keadaan yang lebih teruk," kata Najib.

Mengulas lanjut Najib juga berpendapat sistem kewangan Malaysia masih lagi berdaya tahan.

Jelas beliau, pasaran kewangan domestik terus berfungsi bagi menyokong keperluan ekonomi domestik.

"Pertumbuhan KDNK dalam suku kedua 2015 adalah pada 4.9%, membawa pertumbuhan dalam separuh pertama 2015 kepada 5.3%.

"Kita juga telah mempelbagaikan ekonomi Malaysia, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada perolehan minyak dan gas, sekaligus mewujudkan persekitaran lebih berdaya tahan," jelas Najib.

Menurut Najib, ekonomi Malaysia juga terus merekodkan lebihan perdagangan.

Pasaran buruh juga kata Najib adalah stabil dengan kadar pengangguran pada 3.1% pada suku kedua tahun ini.

Najib berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan dikemukakan Pengarah Urusan Kumpulan dan juga Ketua Pegawai Eksekutif The Star Media Group, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Wong membangkitkan isu kebimbangan rakyat kerajaan tidak memberi penerangan setelusnya berhubung situasi ekonomi semasa.

Selain Najib, persoalan sama juga dikemukakan kepada beberapa menteri kabinet, termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts