INDUSTRI ANIMASI DAN REKAAN BOLEH MEMACU EKONOMI NEGARA : KHAIRY
KUALA LUMPUR: Kerajaan berharap penggiat industri seni menggunakan pertumbuhan pesat industri berkenaan untuk memacu ekonomi.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, industri seni tempatan boleh memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi negara melalui beberapa aspek seperti inovasi dan kreativiti.
"Asas seni adalah inovasi dan ia ada kaitan yang sangat rapat dengan pembangunan ekonomi. Bukan hanya dari segi pembelian, tetapi bagaimana kita dapat menggarapkan nilai kesenian itu sebagai satu usaha untuk membangunkan kreativiti di kalangan orang muda," katanya ketika ditemui pada sidang media Simposium Seni Kebangsaan 2015 di Bangsar South City, hari ini.
Tambahnya, antara industri yang boleh menjana ekonomi negara adalah industri animasi dan industri rekaan.
Pada masa sama, Khairy berharap simposium yang berlangsung selama dua hari ini dapat menarik peminat seni luar terhadap seni tanah air, sekali gus membantu pembangunaan negara.
"Diharap simposium kali ini akan membawa masuk pelabur asing dan pengaudit untuk melihat seni kita yang mana ada kelas tersendiri dan boleh digunakan sebagai cagaran.
"Ini adalah cara berbeza bagi melihat seni dan menghargai seni, sekali gus memacu ekonomi negara," katanya.
Pada 2014, keluaran dalam negara kasar (GDP) industri kreatif Malaysia kurang daripada dua peratus berbanding Korea dan Thailand 10 peratus, Indonesia 7 peratus dan Singapura 5 peratus.- ASTRO AWANI
Comments
Post a Comment