PARTI BOLEH TERIMA KRITIKAN. TAPI PERLU ADA DISIPLIN: KHAIRY


KUALA LUMPUR:  Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan walaupun parti memberi ruang untuk pelbagai pandangan dan kritikan, parti tetap perlu ada disiplin.

Menurut Khairy, keseimbangan antara kebebasan bersuara dan disiplin perlu diutamakan dalam parti.

"Kita terima kritikan, kita terima pandangan-pandangan berbeza daripada kepimpinan parti.

"Tetapi apabila seorang individu itu telah melanggar batas, menghadiri program-program bersama pembangkang, bersengkokol dengan pembangkang, menyatakan pandangan yang tidak berasas di atas pentas yang tidak baik kepada UMNO, maka kita tidak ada pilihan," kata Khairy pada sidang media selepas Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang 2 Penggal Ke-30 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada Rabu.

Khairy berkata demikian ketika mengulas tindakan Majlis Tertinggi UMNO yang memutuskan Ketua Wanita UMNO Gopeng Datuk Hamidah Osman dipecat atas pelanggaran disiplin parti.

"Maka, kita perlu mengimbangi antara kebebasan suara dan disiplin parti.

"Dalam kes Datuk Hamidah, beliau sudah keterlaluan dan sebulat suara kita bersetuju untuk keluarkan beliau daripada parti," kata Khairy.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak memberitahu, setakat ini hanya Datuk Hamidah diambil tindakan biarpun terdapat hal berkaitan diutarakan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Selasa.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts