DEBAT 1MDB: TENTUKAN FORMAT PERDEBATAN KATA SALLEH


KUALA LUMPUR:  Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedia menyiarkan perdebatan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara langsung di televisyen tetapi formatnya harus ditentukan pihak yang terlibat terlebih dahulu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.


"Kami sudi memberi ruang tetapi format perdebatan harus ditentukan terlebih dahulu," kata Salleh.

Tambah beliau, pihak RTM tidak mempunyai masalah untuk menyediakan studio dan moderator perdebatan, jika diminta kedua-dua belah pihak.

Kata Salleh lagi, perbincangan akan dibuat dengan Ahli Parlimen DAP Tony Pua serta Presiden dan juga Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung perdebatan tersebut.
"Kita berharap perdebatan ini dapat diadakan secepat mungkin supaya dapat merungkaikan segala kekeliruan," kata Salleh ketika ditemui di lobi Parlimen petang Isnin.

Pada Sabtu lalu, Arul Kanda telahpun menyahut cabaran untuk bersemuka dengan Pua dalam satu program temu bual tanpa mengenakan sebarang syarat.

Sebelum itu, beliau mahu Pua meletakkan jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana antara lain mahu mengelakkan berlaku konflik kepentingan selain menjaga kredibiliti jawatankuasa siasatan tersebut.

Pua bagaimanapun tidak menerima syarat tersebut kerana yakin dirinya tidak mempunyai konflik kepentingan sebaliknya sesi 'pertembungan' itu boleh menjawab soalan PAC dan juga seluruh rakyat Malaysia yang mahu mengetahui kebenaran di sebalik isu yang melanda 1MDB.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts