8 WARGA TEMPATAN DITAHAN DISYAKI PENGGANAS : KPN
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan warga tempatan termasuk dua penjawat awam kerana disyaki menjadi ahli kumpulan pengganas.
Semua suspek yang berusia antara 22 hingga 36 tahun itu ditahan dalam beberapa operasi serentak di Selangor, Perak dan Johor oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jumaat lalu.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, siasatan mendapati enam suspek telah disyaki sebagai anggota Tanzim Al-Qaeda Malaysia manakala dua lagi mempunyai kaitan dengan militan IS.
"Dua suspek yang berusia 24 dan 33 tahun disyaki menganggotai kumpulan Tandzim Al-Qaeda Malaysia pernah ditahan di Lubnan pada 18 Oktober 2012 kerana cuba untuk menyusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas.
"Mereka kemudian diiring pulang ke Malaysia oleh pasukan khas dari Bahagian Counter Terrorism pada 30 Oktober lalu dan ditangkap setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor," katanya dalam satu kenyataan.
Pemuda yang berusia 24 tahun tersebut berasal dari Selangor merupakan bekas penjawat awam, manakala seorang lagi suspek yang berusia 33 tahun berasal dari Kuala Lumpur merupakan bekas juruelektrik.
Empat lagi suspek, berusia di antara 22 tahun hingga 36 tahun juga disyaki anggota kumpulan Tandzim Al-Qaeda Malaysia ditangkap di sekitar Selangor dan Johor.
Menurut Khalid, kesemua mereka merupakan saki-baki anggota kumpulan Tandzim Al-Qaeda yang masih bersembunyi selepas operasi tangkapan ke atas pemimpin-pemimpin kanan kumpulan tersebut pada Februari 2013.
Dalam pada itu, dua lagi suspek berusia 28 tahun merupakan penjawat awam yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas IS.
"Kedua-dua suspek adalah dari sel yang sama dengan dua penjawat awam yang ditangkap pada 19 Ogos lalu.
"Sel ini aktif menyebarkan ideologi kumpulan pengganas IS di kalangan penjawat awam di jabatan terbabit," katanya lagi.
Semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747). - ASTRO AWANI
Comments
Post a Comment