SELESAIKQN ISU LAUT CHINA SELATAN SECATA AMAN: NAJIB


KUALA LUMPUR:  Pertikaian mengenai tuntutan wilayah di Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman dengan berpandukan undang-undang antarabangsa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berucap merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini, Perdana Menteri menyeru semua pihak supaya mengawal diri daripada bertindak mengikut perasaan.

"Kita memberi penekanan terhadap pentingnya menyelesaikan pertikaian secara aman, sejajar dengan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS (Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut). Justeru, kita menyeru semua pihak supaya mengawal diri dan mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh merumitkan atau meningkatkan lagi ketegangan," katanya.

Najib juga meminta semua negara di rantau ini bertindak sebagai ASEAN di peringkat antarabangsa dan menegaskan bahawa dengan bertindak secara bersama, kekuatan mereka akan jauh lebih hebat daripada bertindak bersendirian manakala dunia pula akan mengiktiraf serta menghormati kebangkitan ASEAN dan segala pencapaiannya setakat ini.

Ini, kata beliau, termasuk memelihara keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

Menurut laporan media, kerja-kerja pembinaan sedang berkembang pesat di wilayah Laut China Selatan, sebuah kawasan yang kedaulatannya dipertikaian oleh enam pihak iaitu China, Vietnam, Filipina, Malaysia, Taiwan dan Brunei.

Antara lain, laporan itu menyebut bahawa imej-imej satelit terbaru menunjukkan China sedang mencapai kemajuan pesat dalam membina landasan kapal terbang yang sesuai untuk kegunaan tentera di wilayah yang dipertikaikan itu.

Dalam perkembangan lain, Najib turut mahu negara-negara Asia Tenggara untuk lebih bertindak sebagai ASEAN di rantau ini serta bekerjasama dalam mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah.

"Kita perlu bekerjasama untuk mencari penyelesaian terhadap masalah alam sekitar seperti pencemaran jerebu, bencana alam termasuk banjir dan gempa bumi serta krisis migrasi," katanya.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Malaysia bersama-sama Singapura dan Indonesia dilanda masalah jerebu yang disebabkan oleh kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan di Indonesia.

Mengenai isu migrasi di rantau ini, Najib berkata beliau gembira bahawa negara-negara di rantau ini akan memeterai Konvensyen ASEAN Bagi Menentang Pemerdagangan Manusia Terutama Wanita dan Kanak-Kanak hari ini.- BERNAMA

Comments

Popular Posts