MALAYSIA TERAJUI MOST IGC UNESCO DI PARIS


KUALA LUMPUR:  Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dilantik sebagai Presiden Majlis Antara Kerajaan bagi Pengurusan Program Transformasi Sosial (MOST IGC) UNESCO di Paris, Perancis.

Menurut kenyataan kementerian itu di sini, Rohani mengambil alih jawatan itu daripada Menteri Pembangunan Sosial Argentina Dr Alice Kirchner dan beliau akan menerajui kepimpinan MOST IGC bagi tempoh 2015-2017.

MOST yang dilancarkan pada 1994, satu-satunya program UNESCO yang menggalakkan penyelidikan sains sosial yang akan diguna oleh pembuat dasar di peringkat global yang terdiri daripada 35 negara anggota UNESCO termasuk China, Turki, Brazil, Kanada dan Indonesia.

Rohani dalam ucapan aluannya pada MOST IGC di Paris, selepas memenangi jawatan itu berkata beliau terharu dengan penghormatan yang diberi dan akan terus mengukuhkan bidang sains sosial dan kemanusiaan serta kerja-kerja yang dilakukan majlis itu untuk menyokong negara anggota dengan lebih berkesan bagi pelaksanaan dasar awam.

"MOST mempunyai peranan berharga dan tersendiri dalam penyelidikan bidang sains sosial dan kemanusiaan, yang bertindak sebagai pemudah cara bagi kerjasama dan penggemblengan kapasiti, forum perdebatan dan rujukan bagi dasar berorientasikan pertimbangan," menurut kenyataan itu.

Menteri itu berkata untuk menyokong transformasi sosial terhadap pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan, MOST akan bekerjasama dengan institusi pendidikan untuk memperkayakan asas pengetahuan sains sosial dan kemanusiaan, mengadakan forum antara kerajaan dan menyalurkan pengetahuan melalui dasar yang sesuai.

Program itu telah mewujudkan kepakaran dalam menghubungkan pengetahuan dan pembentukan dasar negara khusus dalam pelbagai bidang seperti kemiskinan, kebuluran dan ketidaksamaan, inklusif dan pendidikan berkualiti yang saksama, ketidaksamaan gender, kemampanan dan keadilan sosial.

Rohani berkata MOST akan terus mewujudkan dialog dua hala antara ahli akademik dan pembuat keputusan, di samping mengukuhkan hubungan kerjasama dalam program pembangunan sosial yang terbukti berkesan dalam mengurangkan jurang ekonomi dan sosial.

Beliau menegaskan Malaysia akan terus menyumbang dalam semua aspek tugasan yang dilakukan UNESCO dan seterusnya menzahirkan objektif murninya.- BERNAMA

Comments

Popular Posts