'SERLAHKAN KEJANTANAN DALAM DEBAT 1MDB': AHMAD ZAHID
PUTRAJAYA: Debat mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) antara Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua adalah peluang untuk menyerlahkan keberanian dan kejantanan masing-masing bagi mencari kebenaran berhubung isu menyelubungi syarikat pembangunan strategik itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa menyatakan demikian berkata, sekiranya Pua mahu isu 1MDB diselesaikan dengan baik, beliau seharusnya menggunakan platform perdebatan itu dengan baik dan jangan berdolak-dalik.
"Kalau berani cabar maka hendaklah bayar dengan 'harga tunai' iaitu dengan keberanian, keikhlasan dan bukannya dengan cacamarbakan cabaran itu.
"Jangan bagi alasan untuk melarikan diri dan menghilang dan mencabut kejantanan yang ada," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat peringkat Jawatankuasa Tertinggi mengenai Agensi Keselamatan Sempadan di sini hari ini.
Arul Kanda pada Sabtu menyatakan persetujuan untuk berdebat dengan Pua tanpa sebarang syarat, dengan menarik balik syarat terdahulu untuk Pua meletakkan jawatannya sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Ahmad Zahid berkata beliau percaya Arul Kanda sebagai seorang yang profesional mampu menjawab dengan baik sebarang persoalan yang bakal diajukan seterusnya memberi gambaran sebenar mengenai isu melanda 1MDB.
"Perlu cari pendekatan berbeza untuk menjernihkan fakta yang keruh dan pencerahan yang dilakukan (Arul Kanda) dapat memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku, bukan dengan memesongkan beberapa fakta yang telah dibangkitkan dahulu tetapi diulang-ulang," katanya.
"Dengan adanya perbahasan terbuka dan secara langsung, keberanian dan kejantanan harus terserlah," katanya.
Mengenai kesediaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan secara langsung debat 1MDB itu, Ahmad Zahid menyifatkan ia sebagai wajar.
"Tiada masalah kalau nak live (secara langsung)," katanya.
Pada 29 Oktober lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata RTM sedia menyiarkan debat itu secara langsung sekali gus membuktikan sikap keterbukaan kementerian berkenaan.- BERNAMA
Comments
Post a Comment