PELAJAR LUAR NEGARA DIGALAK TUBUH SEKRETARIAT PENCEGAHAN RASUAH : SPRM
KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di luar negara digalak untuk menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah bagi membantu meningkatkan kesedaran menjauhi jenayah rasuah dalam kalangan golongan muda.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata penubuhan sekretariat itu boleh bertindak sebagai pusat informasi dan menganjurkan aktiviti pencegahan rasuah.
"Saya yakin syor ini dapat direalisasikan kerana SPRM mahu generasi muda diberikan dengan maklumat terkini dan yang sesuai mengenai usaha memerangi rasuah serta mewujudkan persekitaran bebas rasuah," kata Abu Kassim dalam satu kenyataan.
Syor ini dikemukakan oleh Abu Kassim dalam pertemuan dengan wakil-wakil pelajar yang sedang mengikuti pengajian tinggi di Rusia.
Pertemuan itu adalah selaras dengan dasar merakyatkan SPRM.
Justeru, SPRM juga memberi tumpuan ke atas generasi muda khususnya pelajar sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi.
Selain memberikan penerangan berhubung isu-isu semasa, Abu Kassim juga menasihatkan pelajar di luar negara untuk tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat, khususnya yang disalurkan menerusi media sosial.- ASTRO AWANI
Comments
Post a Comment