WUJUDKAN SEMULA JABATAN ANTI-KEGANASAN: MUSA HASSAN


KUALA LUMPUR:  Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mencadangkan Polis Diraja Malaysia mewujudkan semula Jabatan Anti-Keganasan bagi menangani isu keganasan terutama kumpulan Daish yang kini mengancam keselamatan dan keamanan penduduk dunia.

Pada masa sama tegasnya, usaha itu penting bagi menjayakan operasi risikan anggota keselamatan dalam usaha mencegah kemungkinan berlaku serangan kumpulan militan itu ke atas Malaysia.

"Bagi saya jabatan itu perlu kerana ia akan memberikan fokus kepada masalah keganasan kerana jabatan ini akan mengadakan hubungan dengan lain-lain agensi bersama untuk mereka mengumpulkan risikan-risikan tertentu dan mengambil tindakan bersama.

"Walaupun dulu ianya di bawah Cawangan Khas (SB), namun SB ada banyak tugas lain, jadi ia memerlukan satu jabatan yang khusus di mana jabatan ini tadi boleh menggemblengkan semua tenaga mereka dengan agensi-agensi ini untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara," katanya dalam sidang media selepas Program 'Breakfast Talk' bertajuk "Dasar Keselamatan dan Kebajikan Pegawai Penguatkuasa Semasa Menjalankan Tugas" di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun yakin pasukan keselamatan negara mempunyai pasukan risikan yang baik dalam mencegah serangan Daish di Malaysia.

"Amerika Syarikat sendiri apabila berlaku Serangan 11 September, mereka telah mengadakan Home Security di mana semua agensi mengumpul maklumat dalam menangani masalah keganasan. Ini penting.

"Lain-lain agensi juga perlu digemblengkan seperti di lapangan terbang, sempadan semua perlu dijaga sebab ramai pelancong masuk. Kita tidak tahu siapa mereka. Jadi semua itu perlu digazetkan," ujarnya.

Selain itu katanya, peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu ditingkatkan kerana ia adalah institusi yang tertinggi dalam menjaga keselamatan negara.

"Semua risikan ini tadi perlu diketahui oleh MKN. Kemudian ia perlu memantau apa dilakukan agensi-agensi terlibat supaya negara berada dalam keadaan selamat," tegas beliau.

Jabatan Anti-Keganasan itu sebelum ini diwujudkan semasa Hasan masih menjawat jawatan Ketua Polis Negara.

Beliau memegang jawatan itu bagi tempoh 12 November 2006 hingga 12 September 2010.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts