SERPIHSN LOGAM ADALAH DARI ROKET BUKAN PESAWAT KATA FIRMA JEPUN

NAKHON SI THAMMARAT:  Panel logam yang terdampar di pantai Thailand lebih mirip kepada bahagian daripada roket, dan bukannya pesawat, kata syarikat pengeluar Jepun pada Isnin.

Dakwaan itu adalah susulan pemindahan serpihan panel logam yang ditemui di selatan wilayah Nakhon Si Thammarat di Teluk Siam ke Bangkok oleh pasukan pakar Thailand.

Penemuan pada Sabtu itu mencetuskan spekulasi kerana dikaitkan dengan bangkai pesawat MH370, yang hilang pada 8 Mac 2014 bersama kesemua 239 orang yang dibawanya.

Pesawat itu meninggalkan Kuala Lumpur untuk ke Beijing.

"Langkah seterusnya adalah untuk memeriksa, menganalisis dan membuktikan serpihan tersebut," ujar jurucakap angkatan tentera udara Thailand, Pongsak Semachai, pada Isnin.

Namun kerja-kerja pengesahan itu mungkin lebih mudah selepas syarikat Mitsubishi Heavy Industries dari Jepun yang menyatakan nombor siri pada serpihan panel yang ditemui itu menunjukkan ia berkemungkinan berasal daripada salah sebuah roketnya.

"Walaupun kami tidak dapat mengsahkan sepenuhnya, kami prasakan ia merupakan bahagian daripada roket H-IIA atau H-IIB," kata jurucakap Mitsubishi Heavy Industries, Sayo Suwashita.

Roket-roket tersebut lazimnya bertindak sebagai pelancar satelit ke angkasa.

Firma Jepun itu membuat rumusan tersebut selepas mengambil kira bentuk dan nombor siri yang terdapat pada permukaannya.

Kenyataan tersebut secara tidak langsung menyokong pakar yang menyatakan bahawa serpihan itu tidak mungkin daripada pesawat MH370 yang terdampar di pantai Teluk Siam.

Pasukan penyiasat penerbangan percaya bahawa pesawat itu berakhir di kawasan terpencil Lautan Hindi.

Pada Julai tahun lalu, bahagian flaperon pesawat telah ditemui terdampar di pantai Pulau Reunion di Lautan Hindi. Pulau tersebut terletak beberapa ribu kilometer di barat daya Thailand.

Tidak seperti di Pulau Reunion, Teluk Siam bukanlah laluan arus lautan daripada lokasi nahas yang dinyatakan. Tiada perkembangan didapatkan selepas penemuan di Reunion, walaupun usaha pencarian sudah diperluas ke kawasan sebesar 80,000 kilometer persegi
-AGENSI

Comments

Popular Posts