PROGRAM TRANSFORMASI SOSIO-EKONOMI SARAWAK PASTI BERJAYA: TPM
SIBU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Program Transformasi Sosio Ekonomi 15 tahun Sarawak yang menumpukan kepada transformasi di kawasan luar bandar, bermula tahun ini akan berjaya.
Beliau berkata faktor itu adalah kerana penduduk negeri berkenaan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama sentiasa bersatu.
"Tidak ada isu perbezaan kaum di Sarawak. Saya cukup gembira dengan keadaan ini," katanya pada majlis Makan Malam Komuniti sempena lawatannya ke bandar ini, yang bermula Jumaat.
Ahmad Zahid berkata selain mempunyai barisan pemimpin yang baik, negeri ini turut memiliki ramai tokoh perniagaan yang akan membantu program berkenaan.
"Ada tokoh perniagaan utama di Malaysia yang datang dari Sarawak. Sebagai contoh, (masyarakat) Foochow dari Sibu yang dikenali dengan perniagaan besar mereka seperti Tan Sri Tiong Hew King dari Kumpulan Rimbunan Hijau," katanya.
Ahmad Zahid sekali lagi mengingatkan penduduk Sarawak untuk tidak terlalu ekstrem dalam mengamalkan agama mereka, sebagai usaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian di negeri itu.
"Islam, misalnya tidak pernah mengajar umatnya memusnahkan atau membenci agama lain. Ia adalah agama perdamaian.
"Kita perlu menghormati agama lain jika mahu orang lain menghormati agama kita," katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata rakyat Malaysia perlu memantapkan kerohanian dan tidak setakat tertumpu kepada pembangunan fizikal sahaja.
Mengenai Pilihan Raya Negeri ke-11, Ahmad Zahid meminta penduduk negeri ini terus memberi sokongan padu kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang dianggapnya pemimpin yang cukup baik dan popular.
"Sokongan anda akan membolehkan beliau meneruskan usaha menjadikan Sarawak lebih maju dan menjelang 2030, ia boleh menjadi negeri paling maju di negara ini," katanya.- BERNAMA
Comments
Post a Comment