IDENTITI TIGA PELAJAR MALAYSIA MAUT DI JORDAN DIKENAL PASTI


KUALA LUMPUR:  Kementerian Luar hari ini mengesahkan identiti tiga pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan di Safawi, utara Amman, Jordan sebagai Fatin Ikmal Izyani Che Aziz, Hana' Azaha dan Al Najiatun Nailah Mohd Shafie.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, baki dua pelajar yang cedera dikenal pasti sebagai Fatin Nor Syahirah Ramli dan Izam Hasif. Mereka menerima rawatan awal di Hospital Mafraq.

Menurut kenyataan lagi, urusan pemindahan pelajar yang cedera ke Amman sedang diuruskan Kedutaan Besar Malaysia di Amman dengan mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan negara itu.
Kesemua waris pelajar telah dihubungi dan urusan berkaitan sedang diuruskan oleh pihak kedutaan.

"Kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dipandu dan dinaiki mangsa, yang ketika itu dalam sesi lawatan, dilanggar oleh sebuah kenderaan dari arah bertentangan. Kejadian telah mengorbankan tiga pelajar manakala dua yang lain mengalami kecederaan.

"Sehubungan itu, Kementerian Luar mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat ," kata kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, kesemua mereka merupakan pelajar tahun tiga Universiti Mu'tah yang terletak 143 kilometer dari selatan Amman.

Sementara itu, portal rasmi Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan (KMKJ) memaklumkan, Hana' Azaha dan Al Najiatun Nailah berasal dari Kelantan manakala Fatin Ikmal Izyani pula dari Kuala Lumpur.

Bagi pelajar yang cedera Fatin Nor Syahirah dan Izam Hasif masing-masing berasal dari Kelantan dan Negeri Sembilan.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts