KUCING 'HADIAHKAN' IKAN KEPADA PERDANA MENTERI
LANGKAWI: Tumpuan orang ramai ke acara kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Jeti Pendaratan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Chenang, Langkawi beralih sebentar gara-gara gelagat seekor kucing.
Kucing itu menarik perhatian ramai apabila menyusup di celah-celah kaki orang kenamaan yang sedang membuat tinjauan di jeti itu kerana menyasarkan sesuatu di sebuah bot nelayan yang berada di pinggir jeti.
Orang ramai ketawa melihat aksinya melarikan seekor ikan dari bot itu dan kemudian melompat lincah ke atas jeti bersama ikan yang digigitnya.
Namun, tanpa sengaja ikan yang sedang digigitnya terlepas di depan kaki Perdana Menteri.
Najib kemudiannya mengambil ikan tersebut dan memberikannya semula kepada nelayan berkenaan, sebelum meneruskan tinjauan di lokasi itu.
Najib berada di Langkawi bagi menghadiri majlis sambutan penerbangan sulung AirAsia laluan Langkawi-Guangzhou di Kompleks Lang Merah, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.- ASTRO AWANI
Comments
Post a Comment