JAWAPAN BETUL TENTANG DASAR KABOTAJ

Di sana sini ada sahaja perbualan kenapa barang-barang konon di Sabah sarwak mahal. Ada pula dengan sengaja menambah perbualan dengan kongsikan cerita yang tidak tepat untuk mengelirukan mereka yang tidak tahu. Atas dasar sayang, LADY kongsikan maklumat sebenar. Sila baca dengan tenang untuk lebih faham

Silakan...

SOAL JAWAB DASAR KABOTAJ DAN PERBEZAAN HARGA ANTARA SEMENANJUNG MALAYSIA, DENGAN SABAH DAN SARAWAK
(Oleh: RAJ AKBAR SAC LOGAN)
______


SOALAN 1:
Benarkah kadar yuran penghantaran masuk import (melalui kontena) ke Sabah dan Sarawak yang tinggi, merupakan satu-satunya punca kepada wujudnya perbezaan harga yang ketara antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak?

JAWAPAN 1:
TIDAK BENAR, kerana ia hanyalah SALAH SATU daripada faktor penyumbangnya. Banyak lagi faktor lain yang perlu diambil kira sekiranya kita ingin mengenal pasti punca kepada berlakunya perbezaan harga di Sabah dan Sarawak. 
...


SOALAN 2:
Boleh senaraikan faktor-faktor lain tersebut?

JAWAPAN 2:
Perbezaan harga atau kenaikan harga barangan pengguna di Sabah dan Sarawak berpunca daripada pelbagai sebab. Antaranya ialah:-

1. Tindakan mengaut keuntungan berlebihan (oleh sesetengah pihak).

2. Faktor geografi dalam negeri (mempengaruhi kos penghantaran melalui jalan darat iaitu dari pelabuhan ke destinasi tempahan).

3. Jumlah penduduk yang relatif kurang jika dibandingkan dengan di Semenanjung.

4. Masalah ketidakcekapan perkhidmatan pemunggahan pelabuhan serta penghantaran yang tidak menepati masa, menyebabkan kontena-kontena yang dipunggah sering terpaksa bermalam di pelabuhan, sekaligus melibatkan kos sewaan bermalam yang dikenakan oleh pihak berkuasa pelabuhan.

5. Kos insurans marin.

6. Kos pengangkutan darat (dari Pelabuhan ke destinasi-destinasi tempahan).

7. Harga bunker yang mengikut kadar harga bahan api.

8. Ketidak seimbangan dagangan (import dan eksport) - keadaan bilamana jumlah import melebihi jumlah eksport. Ini mengakibatkan kontena yang datang berisi, balik kosong.
...


SOALAN 3:
Jadi, kenapa yuran penghantaran masuk import yang dikenakan ke Sabah terlalu tinggi?

JAWAPAN 3:
Seperti yang saya sebut di atas, yuran penghantaran yang dikenakan itu agak tinggi kerana jumlah import lebih besar daripada jumlah eksport. Kontena yang membawa masuk barang import seringkali pulang kosong tanpa membawa barangan eksport. Justeru, untuk meminimumkan kerugian syarikat-syarikat perkapalan (feeder) ini, kadar yuran penghantaran sedemikian diimplementasikan.
...


SOALAN 4:
Dakwaan mengatakan pihak kerajaan melalui Dasar Kabotaj, telah MENGHALANG kapal asing daripada membuat penghantaran terus ke pelabuhan-pelabuhan di Sabah dan Sarawak. Mengapa kerajaan bertindak demikian? Bukankah lebih jimat sekiranya mereka dibenarkan membuat penghantaran terus?

JAWAPAN 4:
Dakwaan ini sama sekali tidak berasas. TIDAK BENAR. Pihak kerajaan TIDAK PERNAH pun MENGHALANG kapal asing daripada membuat penghantaran terus ke pelabuhan-pelabuhan di Sabah, Sarawak mahupun Labuan seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang. Akan tetapi kapal-kapal asing ini SENDIRI YANG MEMILIH untuk menumpukan penghantaran mereka ke Pelabuhan Klang. Ini disebabkan oleh faktor ekonomi syarikat itu sendiri, ataupun kerana terlalu banyak barang untuk mereka hantar ke destinasi-destinasi yang berbeza. Tumpuan pasaran mereka adalah Semenanjung Malaysia yang populasinya jauh lebih besar daripada jumlah penduduk Sabah dan Sarawak. Ketika ini pun, masih terdapat beberapa syarikat kecil yang selalu membuat penghantaran terus ke pelabuhan-pelabuhan di Sabah, Sarawak dan Labuan. Terutamanya dari Taiwan, Hong Kong dan sebagainya.
...


SOALAN 5:
Apakah pendekatan yang boleh diambil bagi menurunkan kadar yuran penghantaran masuk import (melalui jalan laut) ke Sabah, Sarawak dan Labuan ini?

JAWAPAN 5:
Perbanyakkan eksport dari negeri ini ke Semenanjung Malaysia, dan seterusnya ke luar negara. Kenal pasti barangan import yang selalu dibawa masuk dalam skala sederhana tapi berterusan. Barangan yang pada hakikatnya, kita sendiri mampu untuk keluarkan. Bangunkan sektor-sektor berpotensi tinggi ini untuk dijadikan barangan eksport (selain dapat memenuhi keperluan tempatan agar kita tidak lagi mengimport barangan berkenaan). Dengan berbuat demikian, masalah OPERASI SEHALA yang kini dialami oleh syarikat-syarikat perkapalan tempatan (feeder) akan dapat diatasi, dan imbangan perdagangan import dan eksport kita akan bertambah stabil. Sekaligus dijangka dapat MENURUNKAN KADAR YURAN PENGHANTARAN MASUK IMPORT sebanyak 30% daripada kadar semasa.
...

SOALAN 6:
Tapi menurut Datuk Wong Khen Thau, bekas Pengerusi FSI (Federation of Sabah Industries), bukan mereka tidak mahu mengeksport, sebaliknya Kadar Yuran Penghantaran masuk yang tinggi itulah yang menyulitkan mereka kerana ia sekaligus meningkatkan kos mereka dalam memperolehi bahan mentah bagi industri pengeluaran di Sabah. Jika benar, bagaimana Sabah ingin memperbanyak eksport sebagai usaha mengimbangi Imbangan Dagangan?

JAWAPAN 6:
Kargo untuk eksport BUKANLAH TERHAD ke atas keluaran barang industri sahaja. Ia juga merangkumi bahan mentah. Sabah masih boleh menjadi pengeksport dalam sektor bahan mentah ataupun bahan makanan. Kita akui bahawa salah satu cara bagi mengatasi ketidak seimbangan perdagangan ini TANPA MEMANSUHKAN DASAR KABOTAJ ialah dengan menempatkan lebih banyak industri serta aktiviti-aktiviti pengeluaran produk yang berpotensi di Sabah, untuk dieksport ke Semenanjung Malaysia khasnya, serta ke luar negara amnya. Ini sekaligus dapat mengelak daripada kapal-kapal kontena yang membuat penghantaran masuk ke Sabah, balik kosong.

MISALNYA, jika terdapat kilang minyak masak di sini, maka Sabah boleh mengeksport minyak masak ke Semenanjung menggunakan kontena dan ini boleh mengurangkan ketidak seimbangan perdagangan seperti yang disebutkan di atas. Sabah sudah semestinya TIDAK PERLU mendapatkan bahan mentah dari Semenanjung, untuk mengeluarkan minyak masak bukan? Saya cadangkan kepada Datuk Wong Khen Thau, supaya tidak menyempitkan pandangan beliau. Analisa dulu secara menyeluruh sebelum membuat sebarang ulasan.

SELAIN ITU, beberapa lagi contoh boleh diberikan. Antaranya, hakikat bahawa Sabah dicatatkan mengimport lebih kurang 15 ribu tan metrik jagung setiap bulan dari luar negara. Sedangkan kita tahu bahawa tanah-tanah di negeri ini luas serta boleh digunakan untuk penanaman jagung bagi mengurangkan import. Bayangkan, 15 ribu tan metrik jagung setiap bulan dari luar negara itu sebenarnya melibatkan kos sebanyak RM200 juta setiap tahun. Dengan menggalakkan industri penanaman jagung di Sabah, bukan sahaja Sabah dapat mengatasi keperluan import jagung dari luar, malah Sabah akan sekaligus dapat mengeksport pula lebihan jagung ke Semenanjung Malaysia melalui kontena-kontena yang dikatakan SELALU BALIK KOSONG tersebut. Ini secara langsung akan dapat mengatasi masalah ketidak seimbangan operasi penghantaran barangan MASUK dan KELUAR dari negeri ini.

Kunci utama bagi mengatasi masalah kadar yuran penghantaran masuk yang tinggi melalui kontena ke Sabah ini adalah dengan MENGATASI MASALAH KETIDAK SEIMBANGAN PERDAGANGANNYA.

Terdapat banyak lagi cara untuk menangani ketidak seimbangan perdagangan import dan eksport di negeri ini. Kerajaan harus mula menumpukan kepada pengwujudan industri-industri pengeluaran produk-produk yang mendapat permintaan tinggi bukan saja di Sabah, malah di seluruh dunia. Seterusnya penghantaran eksport produk-produk yang dihasilkan itu kita wajibkan untuk dibuat melalui kontena. Kerana dengan berbuat demikian, kontena-kontena tersebut tidak akan kosong lagi bila kembali ke Semenanjung Malaysia. Sekaligus akan mengurangkan kadar yuran .
Sumber:1018hrs;13012016
DL/4TandukKinabalu ~

Comments

Popular Posts