Followers

UMS DI KEDUDUKAN 173 DUNIA DALAM KELESTARIAN ALAM SEKITAR

KOTA KINABALU:  Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini berada di kedudukan ke 173 terbaik dunia dalam penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2015, bagi kelestarian alam sekitar.

Kedudukan itu adalah lonjakan sebanyak 72 anak tangga berbanding tahun lalu apabila UMS berada di kedudukan 245.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dalam kemas kini di laman Facebooknya memberitahu, kedudukan itu merupakan pencapaian yang boleh dibanggakan warga UMS.

"Saya percaya UMS berada pada landasan yang betul untuk mencapai lebih banyak kecemerlangan pada masa yang akan datang," kata beliau.

Beliau berkata, UMS mampu meningkatkan lagi kedudukan tersebut berdasarkan usaha giat yang dijalankan khususnya dalam aktiviti berkaitan kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar.

Pelbagai aktiviti mesra alam sekitar yang kami laksanakan seperti penggunaan tenaga yang cekap serta peningkatan kemudahan dan penggunaan basikal di kampus.

Selain itu pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar juga dibuat melalui pelbagai aktiviti pengajaran atau penyelidikan.

Penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2015 yang diumumkan pada Jumaat lalu disertai 407 universiti daripada 66 negara berbanding 360 daripada 62 negara pada tahun lalu.

Ia menyaksikan UMS berada pada ranking ketujuh bagi Universiti Awam dan swasta di Malaysia dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) berada pada kedudukan ranking pertama.

Penarafan kelestarian alam sekitar yang mengukur komitmen setiap universiti dalam membangunkan infrastruktur mesra persekitaran mempunyai lebih daripada 40 indikator yang meliputi 6 skop utama iaitu infrastruktur (15 peratus), tenaga dan perubahan cuaca (21 peratus), sisa buangan (18 peratus), air (10 peratus), pengangkutan (18 peratus) dan pendidikan (18 peratus).- ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment